Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lima termasuk kerabat diraja Pahang didakwa cederakan lelaki

Tertuduh ngaku tidak bersalah serta minta dibicarakan
Nov 7, 2024 | 4:41 PM
Kerabat diraja Pahang Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman, 20 tahun, (dua dari kiri) bersama empat lagi lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuantan pada 7 November atas tuduhan mencederakan seorang individu pada Jun lalu.
Kerabat diraja Pahang Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman, 20 tahun, (dua dari kiri) bersama empat lagi lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuantan pada 7 November atas tuduhan mencederakan seorang individu pada Jun lalu. - Foto BERNAMA

KUANTAN (Pahang): Seorang ahli kerabat diraja Pahang dan anggota polis ialah antara lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 7 November atas tuduhan menyebabkan kecederaan seorang lelaki menggunakan pisau pada Jun lalu.

Tertuduh, Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman, 20 tahun; Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39 tahun; Mohd Fouzi Md Nur, 44 tahun; Mohd Taufik Daud, 32 tahun; dan Khairul Azhar Rosli, 38 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah serta meminta dibicarakan selepas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Mengikut tuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian paha kanan Encik Alias Awang, 44 tahun, dengan menggunakan sebilah pisau di kawasan lot tanah bangsal kuda, Jalan Teluk Sisek, di sini, kira-kira 12.20 tengah malam pada 6 Jun lalu.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila kemudian membenarkan semua tertuduh masing-masing diikat jamin RM7,000 ($2,105) dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 11 Disember depan, lapor Berita Harian Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki mendakwa diserang sekumpulan kira-kira 20 individu, termasuk seorang anggota kerabat diraja.

Sebelum ini, kejadian itu turut menarik perhatian Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, yang mengarahkan polis supaya jalankan siasatan segera, telus dan adil tanpa kompromi.

Pada September lalu, Tengku Hassanal berkata beliau memandang serius mengenai laporan berita yang tular di media sosial mengaitkan seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan individu didakwa menyerang individu dikenali sebagai Encik Alias Awang, menggunakan senjata tajam serta pistol sehingga mendatangkan kecederaan

“Justeru, saya menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan.

“Sekiranya terdapat bukti kesalahan dilakukan, ia hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan.

“Semua pihak adalah sama di sisi undang-undang dan saya sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk kerabat yang terbabit dengan sebarang jenayah dan kesalahan undang-undang,” kata Tengku Hassanal dalam satu kenyataan media.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg