Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerajaan M’sia perkukuh kapasiti sumber air Johor sokong pertumbuhan pusat data
Kerajaan M’sia perkukuh kapasiti sumber air Johor sokong pertumbuhan pusat data
Langkah perkasa sumber air mentah, penggunaan air pulih guna pastikan industri berkembang tanpa jejas keperluan rakyat
Kerajaan M’sia perkukuh kapasiti sumber air Johor sokong pertumbuhan pusat data
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan keperluan bekalan air di Johor akan terus dapat dipenuhi sejajar pertumbuhan pesat sektor perindustrian, pembangunan bandar dan pelaburan strategik, termasuk pusat data.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia susulan pelaksanaan pembangunan sumber air baharu, peningkatan kapasiti sistem bekalan air, pembangunan loji rawatan air dan penggunaan sumber air gantian di negeri itu.
Datuk Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata berdasarkan laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), jumlah pengambilan air mentah di Johor ketika ini adalah sebanyak 2,052 juta liter sehari (JLH).
“Dalam hal ini, kerajaan sedang mempergiat usaha memperkukuh kapasiti sumber air mentah dan sistem bekalan air di Johor melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik termasuk cadangan pembangunan empangan, Takungan Air Pinggiran Sungai (Taps), bendungan dan prasarana penyaluran air mentah.
“Selain memperkukuh sumber air mentah, kerajaan bersama operator air negeri turut meneliti keperluan peningkatan kapasiti sistem bekalan dan loji rawatan air secara berperingkat berdasarkan unjuran permintaan semasa dan masa hadapan bagi memastikan bekalan air terawat yang mencukupi dapat disediakan.
“Pada masa sama, sebanyak empat projek pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kapasiti bekalan air terawat di negeri Johor,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada 24 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menjawab soalan Encik Suhaizan Kaiat mengenai pelan jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan kapasiti sumber air Johor, berikutan negeri itu kini menjadi hab utama pusat data di Asia Tenggara.
Datuk Fadillah berkata kerajaan turut melihat air pulih guna sebagai salah satu komponen penting dalam strategi jangka panjang keselamatan air, terutama bagi sektor industri yang mempunyai keperluan penggunaan air yang tinggi seperti pusat data.
Pendekatan itu dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada sumber air terawat dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan sumber air sedia ada secara lebih mampan.
“Sebagai contoh, melalui kerjasama strategik antara Indah Water Konsortium (IWK) dan Johor Special Water (JSW), sebanyak 12 JLH air pulih guna bermutu tinggi kini dibekalkan bagi kegunaan sistem penyejukan pusat data di Johor.
“Inisiatif ini menunjukkan sumber air alternatif berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam menyokong pertumbuhan industri tanpa menjejas keutamaan bekalan air kepada rakyat,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Encik Suhaizan mengenai jaminan kerajaan LRA dapat disiapkan pada waktunya berikutan keperluan bekalan air bagi pusat data akan meningkat menjelang 2030, Datuk Fadillah memaklumkan terdapat beberapa projek sedang dilaksanakan.
Beliau berkata di bawah Jabatan Bekalan Air saja, jumlah pelaburan komitmen Kerajaan Persekutuan adalah kira-kira RM1.6 bilion untuk membekalkan 1,337 JLH sehingga perancangan LRA disiapkan pada 2027.
“Di bawah PAAB, kira-kira 388 JLH dengan perbelanjaan di bawah pinjaman sebanyak RM1.17 bilion, membabitkan empat projek dan dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya.
