Topik diikuti
Pergi ke BHkuMAHA Klinik di Kedah saksi cinta Mahathir, Siti Hasmah
MAHA Klinik di Kedah saksi cinta Mahathir, Siti Hasmah
ALOR SETAR: Di sebalik nama MAHA Klinik yang cukup terkenal oleh penduduk di Alor Setar, Kedah, tersimpan kisah istimewa tokoh negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Pembantu Tadbir MAHA Klinik, Cik Mercy Samuel, 69 tahun, berkata nama MAHA sendiri sering dikaitkan sebagai gabungan nama Mahathir dan Hasmah, sekali gus menjadi simbol kenangan perjalanan hidup pasangan itu ketika mereka sama-sama bergelar doktor.
Katanya klinik itu mula beroperasi di Pekan Melayu, di Alor Setar, pada 1957, selepas Dr Mahathir meninggalkan perkhidmatan kerajaan untuk membuka klinik persendirian.
“Klinik ini kemudian berpindah ke Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar, pada 1979 sebelum diambil alih seorang doktor perubatan, Datuk Dr Mohamed Yacob.
“Ia sudah beroperasi hampir 50 tahun di sini dan menjadi satu-satunya klinik yang dipatenkan atas nama MAHA Klinik di Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Cik Mercy berkata, Dr Mahathir ketika itu menjadi antara orang Melayu terawal membuka klinik persendirian sendiri di Alor Setar, sebelum MAHA Klinik berkembang menjadi sebahagian daripada sejarah perubatan bandar berkenaan.
Katanya kisah itu menjadikan MAHA Klinik bukan sekadar sebuah klinik, sebaliknya menjadi tinggalan sejarah yang mengabadikan nama dua insan yang sama-sama membina kerjaya dalam bidang perubatan.
“Dr Mahathir menjadikan Dr Siti Hasmah sebagai sumber inspirasinya malah mereka tidak pernah berenggang.
“Ketika bulan puasa, jika Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah pulang ke sini, mereka tidak pernah lupa mengajak semua staf klinik berbuka puasa bersama di rumah anak saudara mereka di Alor Setar selain singgah di Pekan Rabu,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perubatan MAHA Klinik, Dr Reshampreet Kaur, 39 tahun, berkata Dr Siti Hasmah menjadi pelopor kepada beberapa aspek perubatan antaranya yang membabitkan perancangan keluarga, ibu dan anak.
Katanya, Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah turut ke kawasan kampung untuk memberi rawatan percuma kepada pesakit kurang berkemampuan dan miskin.
“Sejak dari dulu lagi, kalau lihat orang susah datang klinik, beliau tidak akan mengenakan caj atau hanya kenakan caj yang rendah dan itu yang kami kekalkan hingga kini.
“Meskipun beliau sudah berhenti merawat pesakit selepas menyertai politik, klinik ini terus beroperasi dan diingati oleh rakyat di negeri ini.
“Sekarang pun, ada orang yang hanya datang ke klinik semata-mata untuk mengambil gambar papan tanda MAHA Klinik itu,” katanya.