Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemergian Siti Hasmah: M’sia kehilangan sosok keibuan berjiwa murni
Turut dikenang sebagai pendamping setia Mahathir tabur bakti kepada negara
Pemergian Siti Hasmah: M’sia kehilangan sosok keibuan berjiwa murni
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, ketika pemimpin Malaysia mengenang jasa dan sifat keibuan Allahyarhamha yang dekat di hati rakyat.
Menerusi kenyataan takziah, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar Allahyarhamha dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.
“Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarhamha diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang,” menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau, isteri dan keluarga berdukacita menerima berita pemergian Allahyarhamha yang dikenali mereka sebagai ‘Kak Hasmah’.
“Kami mengenali Allahyarhamha sebagai Kak Hasmah, seorang yang lembut tutur katanya, namun tabah dan kuat jiwanya, malah sentiasa mengambil berat tentang orang di sekelilingnya dengan kasih sayang seorang ibu.
“Hari ini, negara kehilangan sosok keibuan yang dekat di hati rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 September.
Datuk Anwar berkata beliau dan keluarga akan mengenang Allahyarhamha dengan kasih yang mendalam, bersama segala jasa serta kebaikan yang ditinggalkannya.
Beliau turut menyampaikan takziah kepada mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta seluruh keluarga dan mendoakan mereka diberikan ketabahan menghadapi kehilangan itu.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenang Allahyarhamha sebagai pendamping setia Tun Dr Mahathir selama puluhan tahun, termasuk ketika membesarkan keluarga dan memikul tanggungjawab kepada negara.
“Selama puluhan tahun, kita semua menjadi saksi Allahyarhamha menjadi teman hidup Tun, berkongsi hari-hari bersama, membesarkan keluarga dan mendampingi beliau ketika memikul amanah kepada negara.
“Sukar untuk membayangkan betapa sunyinya kehilangan insan yang begitu lama berada di sisi,” katanya.
Menurut Datuk Zahid, khidmat Allahyarhamha sebagai doktor dan keprihatinannya terhadap kesejahteraan masyarakat akan terus dikenang.
Beliau berkata kelembutan, kesederhanaan dan keteguhan Allahyarhamha menjadikannya insan yang disayangi serta contoh teladan kepada rakyat Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, pula berkata Allahyarhamha meninggal dunia pada 9.20 pagi, 28 September, di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Beliau menyifatkan pemergian itu sebagai kehilangan besar kepada keluarga, sahabat handai dan seluruh negara, sambil mengenang sumbangan Allahyarhamha dalam bidang kesihatan, kebajikan masyarakat, pendidikan serta pembangunan wanita dan keluarga.
“Keprihatinan, kesederhanaan dan ketokohan beliau akan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah serta perjalanan pembangunan negara.
“Sesungguhnya, negara telah kehilangan seorang tokoh wanita yang amat dihormati dan disayangi,” katanya.
Mantan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyifatkan Allahyarhamha sebagai tokoh wanita terbilang yang penuh kelembutan, kasih sayang dan kebijaksanaan serta sentiasa merendah diri.
“Bagi saya, Allahyarhamha bukan sahaja seorang tokoh yang disegani rakyat Malaysia, malah seorang insan yang sentiasa menunjukkan sifat keibuan, kemuliaan budi dan keprihatinan kepada semua yang mengenalinya,” katanya.
Menurutnya, sepanjang beliau mengenali Tun Dr Mahathir dan keluarga, Allahyarhamha sentiasa menjadi sumber kekuatan, pendamping setia serta insan yang membawa ketenangan kepada orang di sekelilingnya.
“Jasa, pengorbanan dan sumbangan beliau kepada negara akan terus dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.