Tun Dr Mahathir Mohamad, satu-satunya negarawan yang memegang jawatan Perdana Menteri dua kali dalam sejarah Malaysia, mencapai usia genap satu abad pada 10 Julai 2025.
Pada usia emas 100 tahun, Perdana Menteri keempat dan juga ketujuh itu kekal sihat dan aktif sebagai tokoh politik dengan pelbagai aktiviti harian padat termasuk memenuhi jemputan di dalam dan luar negara, sekali gus mencatat satu lagi sejarah mengkagumkan.
Dilahirkan di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, Dr Mahathir bukan hanya seorang tokoh utama dalam legasi pembangunan Malaysia, bahkan mengukir nama dalam sejarah dunia apabila menjadi Perdana Menteri paling tua yang pernah berkhidmat, iaitu pada usia 92 tahun, ketika kali kedua memegang tampuk kepimpinan Malaysia pada 2018.
Anak bongsu daripada sembilan beradik kepada pasangan suami isteri, Allahyarham Mohamad Iskandar dan Allahyarhamha Wan Tempawan Wan Hanafi itu juga memegang rekod sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Malaysia dan ketiga paling lama di Asia Tenggara, iaitu 22 tahun dari 1981 hingga 2003.
Ulang tahun kelahiran pada 10 Julai lebih bermakna dan manis buat Dr Mahathir atau juga mesra disapa Che Det di mana isteri tercinta, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, yang dilahirkan pada 12 Julai 1926 juga akan menginjak ke usia 99 tahun dua hari lagi.
Pasangan yang berkenalan ketika melanjutkan pengajian dalam jurusan perubatan di King Edward VII College of Medicine, di Singapura, sebelum mendirikan rumah tangga pada Ogos 1956 kemudian dikurniakan tujuh anak.
Media sosial di Malaysia dibanjiri ucapan ulang tahun kelahiran buat negarawan itu daripada pemimpin negara dan rakyat pelbagai latar belakang, bangsa dan agama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg