PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan satu jawatankuasa sekretariat orang Melayu, dikenali sebagai Sekretariat Orang Melayu, bagi menghimpunkan orang Melayu Malaysia di bawah satu ‘payung besar’.
Mantan Perdana Menteri Malaysia dua kali itu berkata jawatankuasa itu juga bertujuan membolehkan orang Melayu kembali menguasai kerajaan Malaysia.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan menjadi wadah bagi penyelesaian masalah orang Melayu yang gagal ditangani oleh kerajaan sekarang.
“Kita sudah bersetuju bahawa kita akan tekankan masalah orang Melayu, bukan masalah parti itu, parti ini dan masalah orang Melayu melibatkan semua orang Melayu.
“Mereka (orang Melayu) memerlukan pejuang untuk menangani masalah mereka, kini mereka belum dapat pejuang khusus, kita tak peduli tentang masalah lain, kita cuma nak tumpu kepada satu perjuangan saja, iaitu perjuangan menyelamatkan orang Melayu.
“Kita tahu ada banyak masalah yang dihadapi oleh orang Melayu cuma boleh diatasi kalau kerajaan ini dikuasai oleh orang Melayu.
“Sebab itu perjuangan kita ialah untuk mencari jalan supaya kita berkuasa semula supaya kita dapat menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh orang Melayu.
“Kita bersetuju dengan mengadakan satu gerakan tidak rasmi, yang kita panggil sebagai ‘payung besar’ supaya semua orang Melayu boleh ada dalam satu kumpulan,” katanya dalam sidang di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 4 Jun, lapor Malaysiakini.
Terdahulu Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin politik bagi membincangkan agenda berkenaan.
Hadir sama pada sesi perbincangan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sementara itu, Dr Mahathir turut mengundang ahli Umno agar menyertai gabungan baru tersebut dalam usaha ‘mengembalikan kuasa Melayu’ dalam kerajaan.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata beliau bukanlah menjemput Umno sebagai sebuah parti untuk menyertai gerakan itu.
“Saya tidak ajak Umno secara rasmi. Tetapi saya jemput orang Melayu dalam Umno.
“Jika mereka setuju dengan usaha ini, kita terima mereka sebagai orang Melayu, bukan sebagai ahli parti,” katanya, lapor Free Malaysia Today.
Dr Mahathir juga menjelaskan bahawa gabungan khemah besar itu, yang turut merangkumi PAS dan Bersatu, bukanlah parti politik rasmi buat masa ini.
Beliau turut mendakwa kedudukan orang Melayu Malaysia kini terancam malah tiada kebebasan bersuara apabila isu kaum, agama dan raja (3R) tidak boleh dibincangkan secara terbuka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg