PUTRAJAYA: Suasana hiba menyelubungi Pusara Negara, Putrajaya, tempat persemadian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dengan kehadiran mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menziarahi pusara isterinya itu.

Dr Mahathir tiba pada 11.05 minit pagi dalam wajah yang kelihatan amat sugul dan beberapa kali dilihat menitiskan air mata sepanjang berada di sisi pusara insan yang pernah menjadi teman hidupnya selama 70 tahun itu.

Beliau, yang hadir ditemani ahli keluarga dan petugas perubatan yang menjaganya, sempat berdoa dan menaburkan bunga mawar, sebelum meninggalkan pusara Allahyarhamha 15 minit kemudian, lapor Harian Metro.

Walaupun dilihat cuba menguatkan diri, riak wajah beliau jelas memperlihatkan kesedihan yang sukar disembunyikan, sekali gus menyentuh hati kira-kira 100 hadirin yang berada di lokasi.

Dr Mahathir dilaporkan kembali pulang ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, bagi meneruskan rawatan berkala dan pemerhatian.

Pada 30 September, Berita Harian melaporkan Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada malam 29 September untuk pemerhatian dan mendapatkan rawatan, selepas pemergian Dr Siti Hasmah pada 28 September.

Setiausaha Akhbar Dr Mahathir, Encik Sufi Yusoff, pada 30 September, berkata Dr Mahathir, dimasukkan ke IJN untuk pemerhatian dan rawatan berkala selepas tidak cukup rehat dan tidur sejak pemergian isterinya itu.

Sementara itu di laman Threads media Malaysia yang memaparkan video Dr Mahathir menziarahi pusara Allahyarhamha, rakyat Malaysia turut berkongsi rasa sedih dan menitipkan kata-kata semangat buat pemimpin kesayangan ramai itu.

“Sayunya tengok Tun Dr Mahathir menziarahi pusara isteri tercinta. Selepas 70 tahun bersama, pasti berat merindui isteri yang selalu ada di sisi. Semoga Allah kuatkan hati Tun dan tempatkan Allahyarhamha dalam kalangan orang beriman,” tulis ‘ainatasaaa’.

“Tak biasa tengok Dr Mahathir versi begini (dalam kesedihan). Allah, sayunya hati. Allah, kurniakan Tun ketabahan, ketenangan dan kekuatan untuk menjalani hari-hari mendatang,” tulis ‘eytaempire’.

“Tengok Tun M menangis, kita pun sama menangis,” kata pula ‘mommy_sophea’.

Allahyarhamha Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun pada 9.30 pagi, 28 September, selepas dimasukkan ke IJN sejak 26 September.

Jenazah Allahyarhamha selamat disemadikan dengan diberi penghormatan Istiadat Pembesar Negara di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, kira-kira 6.30 petang, pada hari yang sama.