Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahathir kongsi rasa, tak sangka kehilangan Siti Hasmah
Mahathir kongsi rasa, tak sangka kehilangan Siti Hasmah
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak menyangka beliau akan menghadapi kehilangan isteri tercinta, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, pada 28 September.
Dalam satu video yang dikongsikan di media sosial rasmi beliau, chedetofficial, pada 29 September, Dr Mahathir berkata:
“Saya tidak menyangka beliau akan meninggal dunia hari ini (28 September).
“Beliau dalam keadaan agak baik malam tadi (27 September),” katanya dalam nada sebak ketika duduk semeja dengan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamha di kediaman mereka di The Mines, Seri Kembangan, Selangor, pada 28 September.
Turut bersama Sultan Abdullah ialah isterinya, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anak lelaki mereka, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Shah.
Dalam perbualan ringkas itu, Dr Mahathir turut merakamkan penghargaan atas kesudian keluarga diraja itu datang dari Pahang untuk menziarahinya serta memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamha Dr Siti Hasmah.
Sultan Abdullah turut memberi pesanan kepada Dr Mahathir supaya menjaga diri dan kesihatan.
Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan anak Dr Mahathir, Datuk Marina, berkata bapanya dalam keadaan sihat, namun kesunyian selepas kehilangan isteri yang amat dirasai.
Namun katanya mereka sekeluarga berusaha menemani Dr Mahathir dalam melalui fasa sukar ini.
“Ayah saya memang sedihlah sebab ini pasangannya selama 70 tahun. Selain itu beliau sihat, tapi hanya rasa sunyi.
“Jadi kita semua sedang menemaninya sebanyak boleh siang dan malam. Beliau terasa sangatlah, beliau seorang sekarang,” katanya dalam nada sebak, ketika ditemui menziarahi pusara ibunya pada 29 September.
Datuk Marina turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan Allahyarhamha Dr Siti Hasmah.
“Saya nak ucap terima kasih kepada semua, kami sangat terharu.
“Ada juga ucapan penghormatan yang dibuat oleh semua orang, yang saya kenal dan ada yang saya tidak kenal, kerana mereka anggap (Dr Siti Hasmah) sebagai ibu mereka juga,” katanya.
Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, kira-kira 9.30 pagi pada 28 September, selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak 26 September.
Jenazah Allahyarhamha Dr Siti Hasmah selamat dikebumikan kira-kira 6.30 petang, pada 28 September di Pusara Negara, Putrajaya, dengan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara, dalam suasana penuh kesedihan dan dihadiri ribuan orang dari serata Malaysia.
Pemergian Allahyarhamha yang dikenali kerana kelembutan tutur kata, keperibadian yang tenang dan sifat penyayang itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Malaysia.
Malah turut dirasai oleh mereka di luar negara yang mengenali sosok Dr Siti Hasmah sebagai lambang keanggunan, ketabahan dan kasih sayang yang tidak pernah putus.