KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad, memerlukan sedikit masa untuk benar-benar menerima pemergian isterinya yang berkongsi hidup selama 70 tahun, kata anak kepada mantan Perdana Menteri Malaysia itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkongsi perkembangan semasa mengenai keadaan bapanya yang kini berada di bawah pemantauan pihak Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, sejak pemergian Allahyarhamha Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, pada 28 September lalu.

Datuk Mukhriz berkata buat masa ini, lebih baik Dr Mahathir berada di IJN terlebih dahulu kerana keadaan di rumah akan mengingatkan bapanya kepada isteri tercinta.

Menurutnya, keadaan itu mungkin memberi kesan terhadap kesihatan fizikal bapanya.

“Saya kira kalau duduk di rumah pun agaknya setiap benda yang ayahanda pandang akan mengingatkan lagi beliau kepada arwah bonda (Dr Siti Hasmah).

“Jadi lebih baik Tun Mahathir duduk IJN dulu, mungkin sehingga beliau betul-betul dapat pulih,” katanya selepas majlis tahlil untuk Allahyarhamha Dr Siti Hasmah di Kuala Lumpur, pada malam 1 Oktober, lapor Harian Metro.

Allahyarhamha Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada 9.30 pagi 28 September lalu di IJN pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.

Jenazahnya disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya, dengan diberi penghormatan mengikut Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor pada 1926, Allahyarhamha melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan dan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.

Di situlah beliau bertemu Dr Mahathir sebelum mereka bernikah pada 1956.

Beliau bukan sahaja dikenali sebagai pendamping setia Dr Mahathir, malah turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasa kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat.

Sementara itu pelbagai platform media sosial masih dihujani ucapan takziah, doa dan keprihatinan terhadap Dr Mahathir, dalam melalui fasa sukar pemergian isteri tersayang selepas tujuh dekad hidup bersama.

Rata-rata warga siber memohon semua pihak menghormati privasi dan memberi ruang dan ketenangan buat Dr Mahathir, terutama ketika menziarahi pusara Allahyarhamha.

Pada 2 Oktober, Dr Mahathir dan keluarganya sekali lagi dilaporkan menziarahi pusara Allahyarhamha, namun keadaan dilihat lebih tenang berbanding sebelumnya, ketika lensa kamera tertumpu ke arah beliau.

Dalam pada itu, Datuk Mukhriz turut berkongsi amalan Allahyarhamha Dr Siti Hasmah, yang akan membaca Surah Yasin sebelum maghrib setiap hari.

Datuk Mukhriz berkata Allahyarhamha tidak meninggalkan amalan itu meskipun keadaan kesihatannya semakin merosot sejak tiga atau empat tahun kebelakangan ini.