Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahathir terima cicit pertama, kini bergelar moyang
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isteri, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kini bergelar moyang, selepas keluarga mereka menerima kehadiran cicit pertama pada 16 Ogos.
Ia selepas anak kepada Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, iaitu Cik Ally Mukhriz, selamat melahirkan bayi sulung lelaki yang diberi nama Eden Zakaria Ezran Cheah.
Kelahiran Eden Zakaria dengan berat 2.9 kilogram (kg) itu menggembirakan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah kerana menerima cicit.
Berita gembira itu dikongsi sendiri oleh Cik Ally, atau nama sebenarnya Meera Alyanna Mukhriz, 31 tahun, menerusi media sosial pada 17 Ogos.
Menurut Cik Ally, cahaya pertama beliau dan suami, Encik Ezran Daud Cheah, itu lahir pada 8.48 pagi.
“Ezran dan saya gembira sangat gembira untuk mengumumkan kelahiran bayi sulung lelaki kami, Eden Zakaria Ezran Cheah. Lahir pada 16 Ogos 2026, pada 8.48 pagi dengan berat 2.9kg.
“Terima kasih semua atas ucapan yang baik dan harap untuk jumpa anda semua nanti,” katanya menerusi perkongsian di media sosial, lapor laman web Astro Awani.
Turut berkongsi kegembiraan ialah ibu Cik Ally, Tok Puan Norzieta Zakaria, yang memuat naik ucapan menyentuh hati bagi menyambut kehadiran cucu sulungnya.
“Assalamualaikum. Syukur pada Allah. Hati kami dipenuhi rasa kasih sayang dan dengan penuh bangga menyambut cucu lelaki kesayangan kami menjadi sebahagian daripada keluarga.
“Selamat datang ke dunia, si kecil! Kamu sudah begitu disayangi,” tulis Tok Puan Norzieta menerusi hantaran di media sosial beliau.
Pada Februari lalu, Cik Ally mengumumkan kehamilan anak sulung selepas melalui perjalanan panjang rawatan kesuburan, termasuk prosedur persenyawaan in vitro (IVF).
Cik Ally mendirikan rumah tangga dengan Encik Ezran pada 20 Februari 2020 dan pasangan itu sering berkongsi perjalanan mereka untuk mendapatkan cahaya mata dengan pengikut di media sosial.
Kelahiran Eden Zakaria disambut dengan ucapan tahniah daripada ahli keluarga, rakan-rakan serta pengikut yang membanjiri ruangan komen media sosial pasangan tersebut.
