Walaupun tidak memahami bahasa Mandarin, Cik Rabiah Basir, 65 tahun, tidak pernah menjadikan hambatan bahasa itu sebagai penghalang untuk menyertai sesi senanam Qi Gong bersama sekumpulan jiran di tempat tinggalnya di Yishun.

Nenek kepada empat cucu dan seorang cicit itu berkata beliau hanya memerhati pergerakan peserta lain pada awalnya, tapi kini sudah mahir dengan setiap gerakan senaman tersebut.

“Pada mulanya memang susah sebab saya tak faham bahasa Mandarin. Tapi kami berlatih setiap minggu, jadi lama-kelamaan saya hafal pergerakan pertama, kedua dan seterusnya. Saya ikut sahaja,” katanya apabila ditemu bual Berita Harian (BH).

Jaringan persahabatan Cik Rabiah berkembang apabila beliau bersama kumpulan Qi Gong itu menyertai acara Healthy Living Festival @ North West yang berlangsung di Stadium Choa Chu Kang pada 6 dan 7 Jun.

Beliau, yang menetap di Yishun, merupakan antara ribuan penduduk di daerah barat laut yang tampil sewal 7.30 pagi bagi acara berjalan pantas yang merupakan sebahagian daripada festival tersebut.

Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, yang menganjurkan acara itu, menyelia kawasan seperti Nee Soon, Sembawang dan Holland-Bukit Timah.

Lebih daripada 6,000 peserta telah menyertai acara selama dua hari itu dan mencuba permainan seperti bola pickel, golf frisbee serta membalikkan tayar.

Festival itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.

Datuk Bandar North West CDC, Encik Alex Yam, berkata festival itu terus diperkaya dengan pelbagai elemen baharu bagi menarik lebih ramai penyertaan daripada keluarga dan penduduk pelbagai peringkat usia.

Menurut beliau, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan menunjukkan minat masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat semakin meningkat.

“Program seperti aktiviti berjalan pantas yang mudah dilakukan tanpa memerlukan banyak peralatan terus mendapat sambutan baik. Kami juga memperkenalkan laluan warisan yang digamifikasikan bagi menarik lebih ramai golongan muda untuk berjalan kaki sambil mengenali sejarah Singapura,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berasaskan komuniti seperti berjalan pantas, senaman berkumpulan dan program tarian bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan fizikal, malah mengeratkan hubungan sesama penduduk serta menggalakkan mereka mengamalkan gaya hidup sihat secara berterusan.

Seorang lagi peserta, Cik Rossiah Dawood, 51 tahun, seorang jurutera sistem, memanfaatkan masa lapangnya untuk mengikuti video senaman kecergasan di rumah.

Beliau, yang turut menyertai festival itu selaku sukarelawan, biasanya bertemu dengan sekumpulan rakan untuk menjalani latihan angkat berat bersama-sama.

“Di sini dapat juga bertemu kawan baru dan lama, dan berkongsi kisah gaya hidup sihat masing-masing,” kata ibu seorang anak lelaki berusia 22 tahun.