Mahkamah arah sita aset penyanyi rap selepas gagal bayar RM8,000
Mahkamah arah sita aset penyanyi rap selepas gagal bayar RM8,000
Saman fitnah difail dakwa Caprice muat naik hantaran di Instagram tanpa sebarang bukti sahih
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan penyitaan aset milik penyanyi rap dan pempengaruh media sosial Malaysia, Caprice, ekoran gagal membayar kos RM8,000 ($2,528) kepada seorang ahli perniagaan dalam kes saman fitnah.
Writ penyitaan dan penjualan bertarikh 3 Disember 2025 dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Qasiratul Jannah Usmani Othman terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, menyusuli perintah yang diperoleh oleh ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perkapalan, Datuk Seri R Jeyenderan.
Jumlah terhutang itu, RM8,000 yang diputuskan di mahkamah pada 15 Oktober 2025, termasuk alokatur (kos undang-undang) sebanyak RM320, dikira sehingga 21 November tahun yang sama.
Writ itu membenarkan penyitaan dan jika perlu, penjualan harta alih milik Caprice selaku defendan untuk melangsaikan hutang penghakiman itu, lapor Harian Metro.
Peguam Datuk Jeyenderan, Encik Muniandy Vestanathan dan Encik Afiq Yahawa, mengesahkan dua bailif mahkamah cuba melaksanakan writ itu di kediaman Caprice di Mont Kiara, Kuala Lumpur, pada 10 pagi 21 Januari, turut disertai pengawal keselamatan kompleks pangsapuri.
Namun, pelaksanaan gagal kerana tiada sesiapa membuka pintu selepas loceng dibunyikan berulang kali.
Selain itu, pengurusan pangsapuri memaklumkan defendan telah berpindah selepas tempoh sewa tamat pada 2025.
Pada 15 Oktober 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Roslan Mat Nor membenarkan permohonan Datuk Jeyenderan untuk injunksi inter-parte (pihak terlibat) dalam saman fitnah terhadap Caprice dan memerintahkan pempengaruh itu membayar kos RM8,000 dalam tempoh dua minggu, tetapi Caprice gagal berbuat demikian.
Datuk Jeyenderan memfailkan saman itu pada 21 Julai 2025, mendakwa Caprice memuat naik beberapa hantaran di Instagram pada 10 Julai tahun sama, termasuk gambar dan video yang didakwa mengaitkan dirinya dengan beberapa aktiviti jenayah, gangsterisme serta ugutan bersenjata tanpa sebarang bukti sahih.
Beliau menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta bagi kerosakan reputasi, ganti rugi khas, am dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Caprice dalam hantaran di media sosialnya pada 21 Januari menafikan beliau gagal membayar kos mahkamah itu dan mendakwa hanya mengetahui mengenai perkembangan itu melalui media sosial.
“Memang ada kos mahkamah RM8,000, tetapi saya hanya dapat tahu melalui artikel di media. Pasukan peguam saya pun terkejut dengan berita ini kerana kebiasaannya dalam banyak kes, kos mahkamah ini hanya dikira selepas prosiding kes selesai,” katanya.
Caprice turut menyatakan persediaannya sekiranya aset ingin disita, sambil menunjukkan koleksi figura miliknya yang dianggarkan bernilai lebih RM8,000.

