KUALA LUMPUR: Pempengaruh Malaysia yang membuat kandungan palsu di media sosial mengenai kehilangan seorang daripada mereka selepas masuk ke dalam hutan di Bandung, Indonesia, bukan saja menerima kecaman ramai, bahkan juga dituntut agar dikenakan tindakan tegas.
Ia selepas Polis Indonesia mengesahkan bahawa dakwaan pempengaruh warga Malaysia dikenali sebagai Eyka yang dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan berkenaan untuk merakam kandungan paranormal, hanyalah lakonan semata-mata.
Memetik laporan KumparanNews, pihak berkuasa negara itu memaklumkan kebenaran mengenai kehilangan terbabit terungkai apabila ia hanya direka untuk kandungan media sosial yang dimuat naik pempengaruh Malaysia, Ammar Mohd Nzahan dan Aras Abdullah.
“Keterangan Ammar dan Aras menjelaskan mereka membuat siaran langsung di Bukit Embah Garut RT 05, RW 09, Kelurahan Cisurupan, Kecamatan Cibiru, Kota Bandung pada 2 Februari lalu menerusi TikTok, dengan cerita sensasi ‘pempengaruh Malaysia (Eyka) hilang selama 48 jam selepas membuat kandungan paranormal’.
“Kandungan sensasi itu dibuat semata-mata untuk meningkatkan jumlah tontonan dan pengikut, lapor Harian Metro memetik KumparanNews.
“Mereka tidak sedar bahawa undang-undang Indonesia mengenakan hukuman tegas terhadap penyebar berita palsu.
“Kandungan yang mereka buat juga tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa meskipun sudah diberi kelulusan oleh pengurus wilayah setempat,” kata Ketua Polis Panyileukan, Kompol Kurnia.
Menurutnya lagi Ammar dan Aras sudah meminta maaf kepada polis dan membuat kenyataan bertulis serta video pengakuan bahawa mereka tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Sebelum itu pempengaruh dan penyanyi rap Malaysia, Caprice, menerusi Instagram miliknya, turut tampil mendakwa kejadian berkenaan dilakukan dengan sengaja dan hanya sekadar kandungan video.
Menerusi kandungan yang direka itu, Eyka ditemui selamat pada 5 Februari selepas dilaporkan ‘hilang’ tiga hari ketika memasuki hutan di Bandung itu.
Remaja berusia 22 tahun itu ‘ditemui’ kira-kira 10 malam dan penemuannya dikongsi menerusi penstriman langsung di TikTok @Arasz sebelum ia tular.
Warga Malaysia yang berang dengan perlakuan pempengaruh yang menghasilkan kandungan tidak bermanfaat dan palsu itu menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan, selain turut menyeru orang ramai memboikot pempengaruh berkenaan.
Ammar Nazhan dilapor membawa lebih 20 orang menyertai rombongan kegiatan paranormal di hutan itu, namun hanya tujuh orang masuk ke dalam hutan termasuk Eyka.
Malah, Ammar Nazhan, turut cuba mencipta sensasi dengan mendakwa hanya Eyka seorang wanita yang masuk ke dalam hutan ketika kejadian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg