PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin, berjaya dalam rayuan mereka untuk menangguhkan prosiding kemuflisan terhadap kedua-duanya, berhubung kegagalan melunaskan tunggakan cukai berjumlah berbilion ringgit.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Dr Alwi Abdul Wahab sebulat suara membenarkan permohonan penangguhan oleh Encik Najib dan Datuk Mohd Nazifuddin dalam keputusan pada 4 September.

Dua lagi hakim dalam panel tersebut ialah Hakim Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Hakim Ong Chee Kwan.

Hakim Alwi yang membacakan keputusan berkata Pesuruhjaya Kehakiman (JC) yang menolak permohonan penangguhan Encik Najib dan Datuk Mohd Nazifuddin telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa kedua-dua perayu tidak akan mengalami kemudaratan yang tidak dapat dipulihkan berdasarkan Seksyen 111 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Seksyen 111 menjamin bayaran balik bagi sebarang cukai yang terlebih dibayar, sekiranya rayuan Encik Najib dan Datuk Mohd Nazifuddin di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) berhubung tunggakan cukai mereka berjaya, lapor The Star.

“Kami bersetuju dengan hujahan perayu bahawa alasan JC hanya tertumpu kepada kebolehan mendapatkan semula wang.

“Ia tidak dan tidak boleh menangani akibat berbeza serta tidak boleh dipulihkan daripada suatu penghakiman kebankrapan seperti yang dinyatakan sebelum ini.

“JC telah tersalah arah apabila menyamakan kemudaratan yang tidak dapat dipulihkan dengan kerugian kewangan semata-mata,” kata Hakim Alwi.

Beliau turut berkata mekanisme ‘Bayar Dahulu, Pertikai Kemudian’ di bawah Akta Cukai Pendapatan tidak boleh ditafsirkan sebagai sekatan mutlak undang-undang, yang mengatasi budi bicara mahkamah untuk mengatasi sewajarnya dalam keadaan tertentu.

“Ia merupakan kerangka tatacara yang direka untuk memastikan kutipan hasil, tetapi tidak menghapuskan bidang kuasa sedia ada mahkamah untuk campur tangan apabila keseimbangan keadilan memerlukannya,” kata Hakim Alwi.

Beliau menambah rayuan di hadapan mahkamah ketika ini merupakan kes yang sememangnya memerlukan penangguhan dan keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kerajaan selaku responden.

“Kesimpulannya, atas semua alasan yang dinyatakan, rayuan dibenarkan dan prosiding kebankrapan ditangguhkan sementara menunggu rayuan di hadapan SCIT diselesaikan.

“Keputusan dan perintah JC bertarikh 17 November 2025 diketepikan,” kata Hakim Alwi.

Mahkamah Rayuan turut memberikan kos sebanyak RM30,000 ($9,412) masing-masing kepada Encik Najib dan Datuk Mohd Nazifuddin.

Najib dan Mohd Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 November 2025 yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan.

Prosiding kebankrapan itu dimulakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) susulan kegagalan Najib dan Mohd Nazifuddin melunaskan tunggakan cukai masing-masing sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.