KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad sejak 1974.
Hakim Datuk Celestina Stuel Galid, ketika membacakan keputusan mengisytiharkan perintah pemberian khas yang dikeluarkan bersama oleh kerajaan Persekutuan dan negeri sebagai tidak sah serta tidak rasional, sekali gus melanggar Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus bagi mengarahkan Putrajaya memulakan semakan hasil baru bersama kerajaan Sabah dalam tempoh 90 hari dan menyiapkannya dalam masa 180 hari.
Mandamus merujuk kepada perintah yang dikeluarkan untuk memerintahkan sesuatu pihak melaksanakan perintah dalam titah adendum.
Semakan itu akan menentukan jumlah sebenar hak 40 peratus bagi setiap tahun kewangan antara 1974 dengan 2021.
Permohonan dikemukakan oleh Sabah Law Society (SLS), yang diwakili Dr David Fung Yin Kee, Encik Jeyan Marimuttu dan Cik Janice Junie Lim, manakala kerajaan Persekutuan diwakili Encik Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan pasukannya.
Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah, diketuai Datuk Brenndon Keith Soh, mewakili kerajaan negeri.
Mahkamah turut membenarkan Perintah Semakan Keempat yang diwartakan pada 27 Ogos dimasukkan dalam perintah akhir bagi melengkapkan keseluruhan proses. Tiada perintah kos dikeluarkan.
Selepas keputusan itu, peguam kerajaan Persekutuan memaklumkan akan memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu arahan lanjut daripada Putrajaya.
Bercakap kepada media, Dr Fung menegaskan keputusan itu mengiktiraf hak 40 peratus hasil Sabah sebagai tanggungjawab perlembagaan yang wajib dipenuhi kerajaan Persekutuan.
“Tempoh 48 tahun ini tidak memadamkan hak Sabah.
“Mahkamah menjelaskan bahawa kewajipan semakan hasil termaktub dalam Perlembagaan dan mesti dilaksanakan,” katanya, lapor Malaysiakini.
Menurutnya, hasil itu bertujuan membiayai perkhidmatan negeri, termasuk kemudahan asas yang selama ini tertinggal akibat kegagalan pembayaran sejak 1974.
“Sabah mempunyai sembilan daripada 12 daerah termiskin di negara ini. Keputusan ini amat penting untuk pembangunan dan keadilan fiskal negeri,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg