KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) dijadual pada 29 November dengan hari penamaan calon pada 15 November.
Badan itu juga memperuntukkan RM116.8 juta ($35.8 juta) bagi melaksanakan urusan pilihan raya itu.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata jumlah itu termasuk untuk pelantikan seramai 33,002 petugas pilihan raya bagi melicinkan perjalanan pilihan raya.
Beliau berkata seramai 1,784,843 pemilih layak mengundi pada pilihan raya kali ini mengikut Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2025 yang dikemas kini sehingga 5 Oktober 2025.
Tambahnya, seramai 25 Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan 196 Penolong RO dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya itu di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata SPR juga akan menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding bagi memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.
Tambahnya, tempoh kempen selama 14 hari akan bermula pada 15 November 2025 hingga 11.59 malam, 28 November 2025, manakala sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.
“Seramai 33,002 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17, manakala sebanyak 882 pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,558 tempat mengundi/saluran dan 58 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 87 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 940 dengan 3,645 tempat mengundi atau saluran.
“PRU DUN Sabah Ke-17 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM116.8 juta,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas SPR berhubung PRN17 Sabah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, pada 16 Oktober, lapor Harian Metro.
PRN17 Sabah diadakan berikutan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada 6 Oktober.
SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran itu daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, juga pada 6 Oktober.
PRN17 Sabah menyaksikan 73 kerusi bakal dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen negeri itu.
Pada sidang media itu, Datuk Ramlan juga mengumumkan tarikh penamaan calon pada 15 November, disusuli pengundian awal pada 25 November dan pengundian biasa pada 29 November, manakala writ pilihan raya dikeluarkan pada 16 Oktober.
“Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau menghubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
“Waktu operasi Hotline SPR adalah dari 8 pagi hingga 8 malam setiap hari. Semakan boleh dibuat juga mulai 1 November 2025 (Sabtu),” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg