KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan ahli perniagaan popular Malaysia, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman, untuk menangguhkan permohonan maafnya kepada tokoh veteran politik, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, dalam kes saman berhubung hutang pelaburan bernilai RM30 juta ($9.44 juta).

Peguam, Encik Mahmud Abdul Jumaat, yang mewakili Datuk Aliff Syukri selaku pemohon, memaklumkan perkara itu selepas prosiding penggantungan pelaksanaan penghakiman di hadapan Hakim Roslan Mat Nor.

Menurut Encik Mahmud, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah permohonan maaf serta pemadaman terbitan terbabit mengikut arahan Hakim Roslan pada 29 April lalu, sehingga rayuan diputuskan.

“Mahkamah juga membenarkan cadangan defendan agar ganti rugi sebanyak RM250,000 oleh Datuk Aliff Syukri dibayar kepada peguam Tan Sri Abdul Kadir selaku akaun pemegang amanah sementara menunggu pelupusan rayuan kes ini di Mahkamah Rayuan,” katanya, lapor Malaysiakini.

Menurut Encik Mahmud, mahkamah bagaimanapun menolak permohonan Datuk Aliff Syukri untuk menangguhkan pelaksanaan perintah supaya tidak menerbitkan sebarang siaran yang mempunyai kesan sama atau serupa yang memfitnah Tan Sri Abdul Kadir.

Pada 29 April lalu, Hakim Roslan memerintahkan Datuk Aliff Syukri membayar RM250,000 kepada mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu, selepas membenarkan saman dikemukakan Tan Sri Abdul Kadir selaku plaintif terhadap Datuk Aliff Syukri sebagai defendan.

Mahkamah turut mengarahkan Datuk Aliff Syukri membayar kos RM50,000 kepada Tan Sri Abdul Kadir serta beliau dilarang menerbitkan atau menyebabkan diterbitkan perkara diadukan atau apa-apa lain yang mempunyai kesan sama.

Datuk Aliff Syukri turut diperintah menghapuskan fitnah bertulis daripada semua akaun media sosial dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman.

Tan Sri Abdul Kadir, 86 tahun, memfailkan saman pada 6 September 2023 dengan mendakwa Datuk Aliff Syukri, 39 tahun, yang terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai di media sosial mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.

Plaintif mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.

Datuk Aliff Syukri pula menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.

Dakwanya, pihak-pihak dalam perjanjian usaha sama gagal membuat pembayaran wang yang dilaburkan, selain segala pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji diberikan plaintif kepadanya adalah dalam pengetahuan plaintif sendiri.