Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menyambut baik cadangan pelaksanaan perkhidmatan KTM Komuter laluan Kempas Baru–Pasir Gudang yang sedang dikaji Kerajaan Johor bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) sebagai usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam di selatan Johor.
Datuk Bandar Pasir Gudang, Datin Paduka Hazlina Jalil, berkata data Jabatan Kejuruteraan MBPG menunjukkan aliran trafik pada waktu puncak di laluan utama masuk dan keluar Pasir Gudang adalah tinggi, dengan anggaran sekitar 19,500 kenderaan melibatkan Lebuh Raya Pasir Gudang, Jalan Masai Lama, Lebuh Raya Pesisir Pantai dan Lebuh Raya Senai-Desaru.
Menurut beliau, keadaan itu menggambarkan tekanan trafik yang ketara, sekali gus mengukuhkan keperluan kepada alternatif pengangkutan awam yang lebih berkesan.
“Sehubungan itu, penyediaan kemudahan meletak kereta dan naik pengangkutan awam yang disokong perkhidmatan komuter dilihat sebagai langkah strategik untuk mengalihkan sebahagian pengguna kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam secara berperingkat dan mampan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau berkata perkhidmatan komuter berkenaan dijangka mampu memendekkan masa perjalanan antara Pasir Gudang dengan kawasan lain seperti Kempas atau Johor Bahru, dengan perjalanan sejauh kira-kira 25 kilometer dianggarkan mengambil masa sekitar 30 minit berbanding lebih satu jam menggunakan kenderaan persendirian pada waktu sibuk.
“Di peringkat MBPG, sokongan utama adalah dari segi penyediaan kemudahan ‘Park and Ride’ bagi memastikan akses lebih mudah dan praktikal kepada pengguna harian.
“Berdasarkan cadangan awal, dua lokasi dikenal pasti iaitu Taman Air Biru dan Taman Pasir Putih, yang dipilih berdasarkan keluasan tapak serta kedudukan strategik berhampiran stesen penumpang kereta api,” jelasnya.
Tambahnya, bagi Taman Air Biru, tapak seluas kira-kira 2.5 ekar dicadangkan dengan kapasiti sekitar 486 tempat letak kereta, manakala ‘Park and Ride’ Taman Pasir Putih melibatkan tapak lebih luas sekitar 6.28 ekar dengan kapasiti anggaran sehingga 1,220 tempat letak kereta bagi menampung keperluan pengguna dari kawasan Pasir Putih, Kota Masai dan sekitarnya.
Datin Paduka Hazlina berkata pendekatan ‘Park and Ride’ bukan sahaja berpotensi mengurangkan kesesakan trafik dan tekanan meletak kenderaan di kawasan bandar, bahkan menyokong perancangan bandar yang lebih tersusun dan mampan dengan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan pelepasan karbon.
Sehubungan itu, MBPG bersedia bekerjasama rapat dengan Kerajaan Johor, PAJ, KTMB dan agensi berkaitan bagi memastikan kemudahan ‘Park and Ride’ yang dicadangkan dapat diselaras dari aspek perancangan bandar, keselamatan, akses jalan dan keselesaan pengguna.
Ini selaras dengan aspirasi Pasir Gudang sebagai bandar raya industri dan pelabuhan yang bersih, lestari dan berdaya huni.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg