Melalui pelancaran Projek Landasan Berkembar Elektrik (ETS), yang menghubungkan Johor Bahru ke Kuala Lumpur dan bahagian utara Semenanjung, negeri itu kini berada pada kedudukan strategik untuk menyokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang menuntut mobiliti, logistik dan pergerakan tenaga kerja lebih pantas serta cekap antara kededua ekonomi.
Dengan masa perjalanan lebih singkat, kesalinghubungan dengan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura pada 2027, serta rangkaian bas dan komuter yang semakin berkembang, pelabur kini dapat merancang operasi rentas sempadan dengan lebih teratur, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di Stesen Kereta Api Kempas Baru, Johor Bahru, pada 11 Disember, beliau berkata hubungan strategik antara Malaysia dengan Singapura memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan JS-SEZ memberi manfaat kepada rakyat.
Ini khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan, menarik pelaburan bernilai tinggi dan meningkatkan taraf hidup.
“Kita gunakan jalinan kerjasama dan hubungan baik dua negara ini untuk memastikan JS-SEZ sebagai pemangkin untuk mengangkat ekonomi Johor dan dengan sendirinya mengangkat ekonomi negara,” katanya.
Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke; dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Hari ini, yang juga kita laporkan kepada Perdana Menteri Singapura, kita selesaikan satu babak sangat penting yang menetapkan suatu rangkaian pengangkutan dan jaringan pengangkutan yang diperlukan.
“Kalau untuk membangunkan negara – dalam konteks ini, negeri Johor – kita perlukan lapangan terbang, pelabuhan, rangkaian lebuh raya dan pengangkutan termasuk yang agak canggih dalam apa yang kita saksikan hari ini dan kita sekurang-kurangnya hampir melengkapkan prasarana asas,” ujarnya.
Pada program berkenaan, beliau berkata projek ETS Gemas-Johor Bahru bakal menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri Johor, sekali gus mengangkat kedudukannya sebagai antara ekonomi paling rancak di Malaysia.
Menurut beliau, Johor mencatat rekod pelaburan yang mengatasi beberapa negeri utama lain, dan jangkaan bagi 2025 menunjukkan angka lebih besar berbanding sebelum ini.
“Bulan November kita sebut tentang kemajuannya, bulan ini (Disember) tercatat rekod yang jauh lebih tinggi dan jangkaannya, seperti dimaklum oleh Menteri Besar Onn Hafiz, mungkin mencatat RM100 bilion ($31 bilion).
“(Jumlah) RM100 bilion ini rekod yang seperti mana yang saya sebut dalam pertemuan sebelum ini, tatkala Maharani Freeport, itu dah mengatasi prestasi Pulau Pinang dan Selangor.
“Saya tidak cemburu kerana ini juga satu negeri yang penting, yang mempunyai potensi besar,” katanya.
Mengulas pembangunan rangkaian pengangkutan termasuk projek RTS Link, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan landasan berkembar elektrik, Datuk Anwar menekankan setiap projek besar mesti membawa limpahan manfaat jelas kepada rakyat di semua peringkat.
Antara tumpuan kerajaan ialah memastikan stesen di bandar kecil menjadi pusat pertumbuhan ekonomi setempat, selain menyediakan ruang perniagaan, perumahan mampu milik dan peluang pekerjaan baru.
“Cabarannya ialah memastikan manfaat itu dapat menjajar kepada rakyat keseluruhannya.
“Pembangunan stesen di kota kecil itu dapat dipesatkan dan memastikan penyertaan rakyat termasuk peniaga kecil itu terjamin,” tegas beliau.
Beliau turut menyatakan tanpa kesan menyeluruh, pembangunan mega boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yang tidak menikmati manfaat secara langsung.
Dalam menjayakan Rancangan Malaysia Ke-13, Datuk Anwar menegaskan kerajaan pusat kini mengambil pendekatan lebih terbuka dan mendengar pandangan negeri, termasuk Johor, sebelum menetapkan keutamaan projek.
“Kelainan kita ialah pimpinan pusat turun ke semua negeri mendengar pandangan dan teguran. Apa yang kita fikirkan keutamaan di Putrajaya tidak semestinya memenuhi selera Johor,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg