Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan pemimpin parti Anwar sertai Rafizi dalam Bersama
Lee Chean Chung gesa tinggal amalan ‘politik dinosaur’ demi masa depan negara, sertai Bersama
Mantan pemimpin parti Anwar sertai Rafizi dalam Bersama
PUCHONG (Selangor): Mantan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Lee Chean Chung, secara rasmi menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama), selepas meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya, pada 2 Oktober lalu.
Encik Lee juga akan menganggotai barisan kepimpinan interim Bersama, dan akan berkongsi tanggungjawab mengemudi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli, pada sidang media mengenai perkara itu di Puchong, Selangor, pada 5 Oktober, berkata Encik Lee akan memberi tumpuan untuk membina jentera di kawasan majoriti pengundi Cina.
Menjelaskan keputusannya menyertai Bersama, Encik Lee menggesa amalan politik lama yang disifatkannya sebagai ‘politik dinosaur’ ditinggalkan demi masa depan negara.
Keputusan itu katanya dibuat selepas beliau menerima surat daripada PKR pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 30 September lalu, yang memaklumkan keahliannya dalam parti digantung selama tiga tahun.
“Jadi, semua ini sebenarnya yang buat kita rasa kena cakap goodbye (selamat tinggal) kepada apa yang saya panggil ‘politik dinosaur’ atau politik yang lama.
“Saya bersedia untuk menyumbang apa yang ada, pengalaman dan kekuatan saya untuk membantu Bersama,” katanya pada sidang media itu, lapor portal berita, Malaysiakini.
Encik Lee turut mengkritik hubungan dalam blok politik sedia ada yang disifatkannya penuh percanggahan.
“Setiap blok politik sedia ada dilihat sama saja. Ada yang depannya kerjasama, belakang dia tikam sesama sendiri,” katanya.
Encik Lee mengikut langkah tiga mantan pemimpin PKR – Datuk Rafizi, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Encik Wong Chen – meninggalkan parti itu dan menyertai Bersama.
Hubungan Encik Lee dengan PKR semakin renggang selepas beliau menghadiri acara pelancaran Bersama pada Mei, ketika masih menjadi anggota PKR.
Pada 12 Jun lalu, Encik Lee meletakkan jawatan sebagai anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, selepas lapan tahun memegang jawatan di peringkat pusat.
Sementara itu, Datuk Rafizi mengalu-alukan penyertaan Encik Lee ke dalam Bersama, yang disifatkannya dapat memperkukuh kepimpinan parti itu.
“Penyertaan saudara Lee insya-Allah akan memperkuatkan barisan kepimpinan Bersama, tatkala parti sedang giat berkembang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Rafizi berkata Bersama menetapkan syarat mewajibkan kesemua 16 calon parti itu yang bakal bertanding pada PRN Melaka 2026, untuk membuat pengisytiharan harta menerusi Akuan Berkanun (SD), sebelum watikah pencalonan diserahkan.
Langkah itu katanya diiringi pengenalan inisiatif interaktif ‘jemput calon’ yang membolehkan pengundi Melaka membuat janji temu terus di laman web parti itu, bagi menjemput calon datang ke kediaman atau kawasan perumahan untuk membincangkan isu setempat.
Datuk Rafizi menegaskan bahawa pendekatan itu bertujuan mengikis budaya politik feudal yang menyaksikan ahli politik sekadar menjadi tetamu kenamaan (VIP) semasa pilihan raya, tetapi menghilang selepas menang.
“Ini satu budaya politik baru yang kami tekankan untuk mengembalikan konsep bahawa seorang ahli politik itu sebenarnya bekerja untuk rakyat,” katanya.