Topik diikuti
Pergi ke BHkuParti Bersama pilih jalan sukar, tidak ikut arus kerjasama politik
Anggap landskap politik M’sia yang kian berubah buat rakyat kecewa, keliru
Ketika landskap politik Malaysia kian berubah dengan parti-parti semakin terbuka untuk menjalin kerjasama bagi menghadapi pilihan raya, Parti Bersama Malaysia (Bersama) teguh memilih jalan berbeza dengan bergerak sendiri, walau mengakui ia bukan mudah.
Parti yang diterajui mantan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, itu turut mempersoalkan keterbukaan Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Dalam satu ceramah di Melaka pada malam 23 Ogos, Nik Nazmi berkata Bersama enggan “berkawan” dengan orang (parti) lain dan teguh bergerak sendiri untuk menghadapi pilihan raya.
Jelasnya, perkembangan politik semasa menunjukkan bahawa parti-parti yang sebelum ini saling berlawanan kini semakin terbuka untuk bekerjasama.
Menurutnya, keadaan ini menyebabkan rakyat semakin keliru dan kecewa.
Beliau menyifatkan keadaan itu seolah-olah parti Umno/BN kini menjadi “orang paling hensem” dalam politik Malaysia apabila pelbagai parti dilihat mahu mendapatkan kerjasama parti berkenaan.
“Umno ini macam orang paling hensem sekarang. Dalam dunia ini PAS (Parti Islam SeMalaysia) peminat dia, PH peminat dia, semua berebutkan Umno,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ceramah politik pertama Bersama menerusi Jelajah Trak Kancil Melaka di Sungai Udang, Melaka, pada malam 23 Ogos, yang turut disiarkan secara langsung di media sosialnya.
Encik Nik Nazmi turut mempersoalkan pendirian PH yang mahu bekerjasama dengan BN di Melaka, sedangkan gabungan itu sebelum ini sering mengkritik BN berhubung pelbagai isu, termasuk Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
“Di Melaka, ini yang kita pelik, tiba-tiba PH pula nak berkawan dengan BN. Ini orang kata muka tak malu. Sebelum ini dah hentam pasal TH, Felda, ‘sakau’ (curi), tapi sambil-sambil itu kenyit mata dan mahu kawan balik.
“Ini yang buat rakyat keliru. Bila orang tanya kenapa Bersama nak bergerak sendiri, tak mahu berkawan dengan orang lain walaupun susah, sebab saya rasa semakin lama rakyat Malaysia semakin kecewa dengan pendekatan politik ini,” katanya.
Menurutnya, Bersama sedar bahawa keputusan untuk bergerak sendiri bukanlah pilihan yang mudah, namun parti itu mahu membina kekuatan berdasarkan prinsip dan idealisme yang diperjuangkan sejak awal.
Beliau berkata sebahagian pimpinan Bersama sebelum ini pernah membina kerjaya politik dalam PKR sehingga mencapai kedudukan berkuasa, namun memilih untuk bermula semula apabila mendapati gerakan politik lama tidak lagi mampu mempertahankan idealisme asalnya.
“Ramai antara kami dulu pernah mulakan langkah ini. Ketika dalam PKR, kami bina sampailah ke atas, dapat kuasa, dapat jawatan besar.
“Tetapi apabila kita tengok pergerakan (PKR) yang lama ini tak dapat hidup atas idealisme tersebut, kami ambil keputusan untuk kembali bermula dari kosong,” katanya.
Nik Nazmi berkata Bersama juga mahu membentuk struktur parti yang lebih dekat dengan ahli dan masyarakat, termasuk mengelakkan kewujudan pemimpin kawasan yang mempunyai pengaruh terlalu besar.
Katanya struktur parti politik juga perlu disesuaikan dengan keadaan semasa dan tidak semestinya mengikut model parti lama yang dibentuk berdasarkan keperluan politik pada zaman terdahulu.
“Sekarang sudah 2026, kita tak perlu lagi ikut struktur parti-parti lama. Struktur mereka itu sebab zaman dulu,” katanya.
Mengenai keputusan Bersama menyertai PRN Melaka, Nik Nazmi berkata parti itu memilih untuk bertanding walaupun menyedari kekuatannya masih belum kukuh selepas tewas pada PRN Johor.
Katanya penyertaan dalam pilihan raya penting bagi parti itu menilai tahap sokongan yang dimiliki selain membina asas sokongan untuk jangka panjang.
“Kita perlu tanam benih. Kita tahu rancangan kita mungkin makan masa sedikit, tetapi bagi orang kenal, ini Parti Bersama. Parti Bersama ini dekat dengan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata kekuatan sesebuah parti politik tidak seharusnya hanya bergantung kepada ideologi, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan sejauh mana parti itu mampu berkhidmat dan memberi nilai kepada masyarakat.
Menurutnya, Bersama mahu mengetengahkan isu yang mampu menyatukan rakyat, termasuk ekonomi, gaji dan peluang pekerjaan, berbanding menjadikan sentimen kaum dan agama sebagai asas politik.
Parti Bersama yang baru dijenamakan semula pada Mei 2026 dengan penyertaan Datuk Rafizi dan Nik Nazmi sebagai peneraju, membuat penyertaan sulung dalam pilihan raya dengan menyertai PRN Johor.
Part itu bertanding di 15 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun gagal menang sebarang kerusi, malah semua calonnya hilang wang deposit.
Untuk PRN Melaka akan datang, Bersama telah mengumumkan 15 calonnya yang akan bertanding, pada 15 Ogos lalu.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN.
Sekiranya Bersama memenangi semua kerusi, parti itu memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
