Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, telah meninggal dunia pada 14 April pada usia 85 tahun selepas sekian lama menghidap demensia.
Menantunya yang juga mantan Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaluddin, berkongsi berita pemergian bapa mentuanya itu menerusi satu hantaran media sosial.
Encik Khairy memaklumkan bahawa Tun Abdullah telah menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 7.10 malam.
“Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima, telah kembali ke Rahmatullah pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan roh orang-orang yang beriman serta beramal soleh,” tulisnya.
IJN berkata mendiang Tun Abdullah, yang lebih dikenali sebagai ‘Pak Lah’, telah dimasukkan ke hospital pada pagi 13 April selepas mengalami masalah pernafasan dan dirawat di Unit Penjagaan Koronari.
“Walaupun segala usaha perubatan telah dilakukan, beliau telah menghembuskan nafas terakhir dengan tenang, dikelilingi oleh orang tersayang,” menurut hospital itu dalam satu kenyataan media.
Mendiang Tun Abdullah sebelum ini jatuh sakit pada April 2024 akibat penyakit paru-paru atau pneumotoraks, tetapi telah pulih selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN, lapor The Straits Times (ST).
Beliau menggantikan tokoh politik veteran, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin Malaysia pada 2003, dan meraih mandat besar dalam Pilihan Raya Umum Mac 2004 apabila Barisan Nasional (BN) memenangi 90 peratus kerusi di Parlimen.
Namun, sokongan terhadap BN merosot pada 2008 apabila parti itu hilang majoriti dua pertiga buat pertama kali, dan lima daripada 13 kerajaan negeri jatuh ke tangan pembangkang.
Di tengah-tengah kritikan terhadap kepimpinannya oleh Dr Mahathir, mendiang Tun Abdullah meletakkan jawatan pada April 2009 bagi memberi laluan kepada timbalan perdana menteri pada waktu itu, Encik Najib Tun Razak, untuk memimpin negara.
BN yang diterajui Umno tidak pernah pulih sepenuhnya daripada kekalahan yang dicatatkan pada 2008, dan terus hilang sokongan sehingga akhirnya tewas kepada perikatan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Dr Mahathir pada 2018.
Meski mendiang Tun Abdullah berkhidmat hanya seketika sebagai pemimpin Malaysia, beliau tetap dikenang sebagai seorang perdana menteri yang berhati mulia, namun terjejas dengan ketidakpuasan rakyat yang semakin meningkat terhadap budaya naungan politik yang diamalkan dalam BN.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg