Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daim meninggal dunia pada usia 86 tahun

Allahyarham selamatkan Malaysia daripada kemelut ekonomi pada 1980-an dan sekali lagi pada 1990-an
Nov 13, 2024 | 5:21 PM
Mantan Menteri Kewangan Malaysia, Tun Daim Zainuddin, meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor, pada 13 November.
Mantan Menteri Kewangan Malaysia, Tun Daim Zainuddin, meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor, pada 13 November. - Foto KOSMO!

Mantan Menteri Kewangan Malaysia, Tun Daim Zainuddin, meninggal dunia pada usia 86 tahun ketika mendapatkan rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor, pada 13 November.

Tokoh politik veteran dan ahli perniagaan berjaya itu difahamkan sudah dua minggu mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kerana serangan angin ahmar dan disahkan meninggal dunia pada 8.21 pagi.

Tun Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali.

Allahyarham menjadi Menteri Kewangan kali pertama dari 1984 hingga 1991 dan kali kedua 1999 hingga 2001, di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham Tun Daim yang juga diberi julukan arkitek ekonomi Malaysia, dikenali dalam kalangan ahli perbankan, taikun, ahli politik dan media sebagai individu penting yang menyelamatkan Malaysia daripada kemelut ekonomi pada 1980-an dan sekali lagi pada 1990-an.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di Persiaran Bukit Tunku, Kuala Lumpur, sebelum solat jenazah selepas solat asar di Masjid Wilayah, Jalan Duta, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang baru tiba di Peru untuk lawatan rasmi sulung beliau ke benua Amerika Selatan, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi hantaran di Facebook.

Datuk Anwar berkata kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Daim kepada Malaysia, terutama ketika beliau menjadi Menteri Kewangan.

Sahabat karib Allahyarham, Dr Mahathir, turut meluangkan masa kira-kira setengah jam menziarahi jenazah Allahyarham Tun Daim kira-kira 12.50 tengah hari.

Dr Mahathir menyifatkan pemergian Tun Daim seperti kehilangan sahabat yang bersama berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

Dalam perkongsiannya di Facebook, Dr Mahathir menzahirkan kesedihan tidak terhingga selepas mengetahui sahabat dan ‘orang kanannya’ itu meninggal dunia.

Ahli-ahli Parlimen yang sedang bersidang di Dewan Rakyat turut bertafakur dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Daim.

Pada 29 Januari, Allahyarham Tun Daim telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta.

Bagaimanapun, Tun Daim mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Susulan kematiannya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata tindakan lanjut berhubung pendakwaan dihadapinya akan diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Pada 2023, SPRM membuka siasatan terhadap mantan Menteri Kewangan itu berdasarkan maklumat Kertas Pandora, iaitu dokumen yang menyimpan rahsia kekayaan tersembunyi dan kegiatan elak cukai individu tertentu termasuk ahli politik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg