PUTRAJAYA: Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan semula hukuman penjara 18 tahun terhadap mereka yang didapati bersalah – menyebabkan kematian tanpa niat rakan universiti, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, pada 2017.
Enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dalam prosiding rayuan akhir enam tertuduh terbabit di Mahkamah Persekutuan pada 28 Februari.
Dengan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2021 yang menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam tertuduh, dan mengetepikan hukuman gantung sampai mati yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai 2024.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karin Abdul Jalil, lapor Kosmo!.
Sebelum ini, lima penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi; Muhammad Azamuddin; Muhammad Najib; Muhammad Afif; dan Mohamad Shobirin menghadapi tuduhan membunuh Allahyarham Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa. Keenam-enam mereka kini berusia 29 tahun.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas tuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Allahyarham Zulfarhan tanpa niat membunuh.
Tuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Mengikut tuduhan, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat UPNM di Kem Perdana, Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada 21 dan 22 Mei 2017.
Seramai 12 lagi tertuduh lain yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Allahyarham Zulfarhan, dikenakan hukuman penjara tiga tahun.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Allahyarham Zulfarhan disahkan meninggal dunia pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang, Selangor, dengan kesan kecederaan daripada 90 kejadian dikenakan seterika wap, yang menyebabkan 80 peratus badannya melecur.
Pegawai kadet berusia 21 tahun itu juga mengalami beberapa serangan lain kerana didakwa enggan mengaku mencuri komputer riba salah seorang daripada enam bekas pelajar tersebut, di asrama universiti awam di Kuala Lumpur itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg