Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masa lebih sukar buat pekerja penghantaran di M’sia

Sep 18, 2023 | 1:56 PM
MASA SUKAR: Menunggu giliran yang lama untuk melakukan penghantaran makanan. Masa untuk mereka meraih pendapatan tinggi sudah mula pudar selepas dunia kian bebas daripada pandemik.
MASA SUKAR: Menunggu giliran yang lama untuk melakukan penghantaran makanan. Masa untuk mereka meraih pendapatan tinggi sudah mula pudar selepas dunia kian bebas daripada pandemik. - Foto ST

GEORGE TOWN (Pulau Pinang): Impian untuk menjana pendapatan ribuan ringgit sebulan sebagai pemandu gig atau rider penghantaran makanan berakhir.

Persaingan lebih tinggi, tamatnya sekatan pergerakan berkaitan Covid-19, dan perubahan dalam struktur yuran, bermakna pemandu dan penunggang gig kini memperoleh pendapatan kurang daripada apa yang mereka perolehi semasa pandemik.

“Masa untuk itu sudah tamat, terutama bagi penunggang hantaran yang pernah mengaut ribuan ringgit sebulan, hanya kerana tidak dibenarkan makan di luar semasa pandemik (lockdown),” kata ahli sosiologi, Profesor Chin Yee Whah, dari Universiti Sains Malaysia.

“Menjadi pekerja gig kini adalah lebih teruk daripada terperangkap dalam sektor berpendapatan sederhana, kerana apabila lebih ramai orang menyertai lapangan gig, pendapatan pemandu atau penunggang penghantaran menjadi jauh lebih rendah.”

Profesor Chin berkata adalah wajar bagi golongan muda hari ini terperangkap dalam mengejar kebendaan dan keinginan untuk kepuasan segera, yang menyebabkan mereka – terutamanya kohort lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini – cenderung ke arah pekerjaan gig yang menawarkan pendapatan agak lumayan sejak mula.

SPM, atau Sijil Pelajaran Malaysia, adalah setara dengan Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat GCE ‘O’ di Singapura.

Pada Mei, satu tinjauan sebuah universiti swasta mendapati 49 peratus lepasan sekolah SPM tidak merancang untuk melanjutkan pelajaran, dan 26 peratus daripada mereka berkata mereka merancang mahu menjadi pemandu e-hailing atau rider penghantaran.

“Ia tidak akan berjalan baik. Walaupun anda menghabiskan lebih 10 jam sehari untuk kerja seperti itu dan memperoleh pendapatan sebanyak RM4,000 (S$1,170) sebulan, apabila anda jatuh cinta dan berkahwin dan cuba membina keluarga, anda akan mendapati diri anda terperangkap dalam lingkaran tanpa peluang untuk berkembang,” kata Profesor Chin memberi amaran, lapor The Star.

Beliau berkata kini sudah tiba masanya buat guru dan pemimpin masyarakat, memberi tunjuk ajar kepada golongan muda tentang keperluan untuk mencari kerjaya dan kemahiran, dan dengan sabar meningkatkan kemahiran untuk mengorak langkah lebih baik dalam kehidupan.

Beliau menggesa belia yang tidak cenderung dari segi akademik untuk mengikuti latihan kemahiran.

“Jika anda seorang tukang paip, juruelektrik atau pembaikan penghawa dingin, anda memperoleh RM50 apabila tiba di mana-mana rumah dan selepas anda melakukan kerja, anda memperoleh lebih daripada RM150.

“Apabila anda mengikuti teknologi, anda memperoleh lebih banyak dan suatu hari nanti anda boleh memiliki syarikat anda sendiri. Jika anda seorang pemandu atau penunggang penghantaran, ini adalah mustahil,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg