Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Masjid Jamek Kampung Baru KL agih bubur lambuk tradisional rai Ramadan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Masjid Jamek Kampung Baru KL agih bubur lambuk tradisional rai Ramadan

Mar 10, 2024 | 05:32 AM



Menjelang Ramadan, masjid antara yang paling sibuk membuat persiapan menyambut kehadiran bulan mulia ini.

Saban tahun, Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur, antara masjid tersohor dan paling menjadi perhatian di Malaysia termasuk dalam kalangan pelancong asing.

Bukan saja dek kemeriahan program berbuka puasa yang dianjurkan pengurusan masjid, tetapi juga suasana orang ramai ‘merebut’ bubur lambuk istimewa, juadah tradisi berusia lebih 100 tahun yang sangat sinonim dengan masjid ini.

Bayangkan, untuk 2024, Masjid Jamek Kampung Baru memperuntuk sejumlah RM900,000 ($254,447) untuk majlis berbuka puasa dan agihan bubur lambuk sepanjang Ramadan.

Melihat kedudukan masjid yang terletak di tengah pusat bandar Kuala Lumpur selain tarikannya sebagai antara destinasi pelancongan kepada pengunjung luar, membuatkan masjid ini sentiasa meriah dan penuh dengan jemaah.

Berita Minggu berkesempatan menemui Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Mohd Khay Ibrahim.


Menurutnya, sambutan Ramadan di masjid berkenaan pada 2024 dijangka lebih meriah, berikutan pengurusan masjid telah menambah jumlah kuota untuk agihan bubur lambuk dan berbuka puasa sepanjang bulan mulia ini.


“Seperti semua orang tahu, Masjid Kampung Baru terkenal dengan bubur lambuknya. Insya-Allah, untuk 2024, masjid ini telah meningkatkan jumlah agihan bubur lambuk kepada 20 periuk berbanding sekitar 15 dan 16 periuk pada 2023.

“Untuk 20 periuk bubur lambuk ini, ia dapat menampung agihan untuk sekitar 14,000 orang setiap hari. Bagi majlis berbuka puasa pula kita tambah untuk 1,000 jemaah berbanding 500 sebelum ini,” katanya.

Kata Datuk Khay, kedudukan masjid di tengah pusat bandar Kuala Lumpur, selain popularitinya dalam kalangan pelancong asing menjadikan masjid itu sentiasa padat dan penuh dengan jemaah, apatah lagi di bulan puasa.

“Menariknya di masjid ini, majlis berbuka puasanya sangat meriah kerana selain jemaah daripada kalangan penduduk setempat, pelajar universiti dan warga kota yang baru pulang bekerja, pelancong dan masyarakat bukan Islam turut bersama-sama meraikan kemeriahan berbuka di sini.

“Kebiasaannya 70 peratus jemaah yang berbuka dan solat sunat tarawih di sini adalah penduduk tempatan, manakala selebihnya ialah jemaah dari serata Malaysia kerana lazimnya ramai yang datang membeli-belah persiapan Aidilfitri di ibu kota, ambil kesempatan berbuka dan bertarawih di sini.

“Jangan tak tahu, pelancong asing pun tidak lepaskan peluang menyertai majlis berbuka puasa kerana mereka seronok melihat kemeriahan suasana berbuka puasa beramai-ramai secara terbuka di luar masjid.

“Pelancong dari Singapura juga ramai menziarahi masjid dan mengambil peluang berbuka dan bertarawih di masjid ini. Malah ada yang datang setiap tahun semata-mata kerana rindu ingin merasai keenakan bubur lambuk Masjid Kampung Baru,” kongsinya.

Bubur lambuk masjid ini hanya boleh dinikmati apabila tiba bulan puasa dan tidak akan ditemui pada hari lain. Keistimewaan bubur lambuk Masjid Kampung Baru adalah ramuan herba dan rempah-ratus yang digunakan sejak berpuluh tahun dahulu.

Malah, populariti bubur lambuk dari masjid ini menyebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menjual bubur lambuk yang diberi percuma.

Disebabkan itu, pengurusan masjid menempah khas plastik pembungkusan bubur untuk mengelak disalah guna oleh golongan berkenaan.

Kira-kira 40 sukarelawan masjid terdiri daripada belia dan penduduk tempatan akan terlibat dalam penyediaan dari awal hingga akhir – iaitu bermula daripada peringkat menyiapkan bahan, memasak, membungkus dan mengagihkan bubur lambuk itu.

“Sukarelawan akan mula menyediakan bahan seawal 4 pagi dan bubur perlu siap dimasak menjelang tengah hari sebelum dibungkus.

“Selepas sembahyang asar bermulalah orang ramai beratur panjang untuk mendapatkan bubur lambuk ini,” cerita Datuk Khay.

Menu berbuka puasa di masjid itu juga bukan ‘tangkap muat’ saja. Nasi beriani, nasi arab, nasi bukhara dan pelbagai lagi juadah istimewa menjadi santapan untuk anggota jemaah berbuka puasa.


“Namun kita mengutamakan menu atau masakan kering seperti variasi nasi yang disebutkan tadi untuk mengelakkan makanan cepat basi atau rosak.

“Kita juga mahu elakkan masalah kebersihan seperti kuah tumpah di atas permaidani, jadi pilihan menu kering lebih sesuai,” kata Datuk Khay.

Kelebihan masjid itu yang terletak di lokasi strategik selain kemeriahan program yang dianjurkan setiap hari menjadi daya penarik untuk dermawan dan syarikat korporat menyumbang serta menginfak ratusan ribu ringgit kepada masjid itu terutama pada Ramadan.

“Masjid ini kalau bukan pada Ramadan pun tetap meriah dengan pelbagai program.

“Sepanjang Ramadan masjid lebih aktif dengan aktiviti seperti tadarus, kuliah subuh, zohor dan tazkirah maghrib serta majlis sumbangan kepada asnaf.

“Jadi penyumbang nampak manfaat yang bertebaran hasil usaha pengurusan masjid. Sebab itu kita berjaya kumpul sumbangan dalam jumlah besar kerana mereka juga mahu lebih ramai peroleh manfaat daripada program yang kita adakan,” katanya.

Buat seluruh umat Islam, penulis ucapkan selamat menyambut Ramadan dan semoga Allah memberkati segala amal ibadah kita di bulan mulia ini. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >