Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, mengibaratkan serangan peribadi dan komen negatif yang diterimanya di media sosial seperti “kemuncup” yang tidak harus menghalang seseorang daripada meneruskan perjalanan.

Kemuncup ialah tumbuhan rumput yang tajam-tajam sarung buahnya dan boleh melekat di pakaian.

Beliau mendakwa bahawa sebahagian besar komen negatif itu digerakkan oleh “tentera siber” yang dibayar bagi membentuk persepsi buruk terhadap dirinya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Bagi saya, ia seperti kemuncup di seluar. Kalau kita sibuk mencabut kemuncup ketika berjalan di padang, kita tidak akan sampai ke destinasi. Yang penting, kita terus bergerak ke hadapan dan memberi tumpuan kepada matlamat yang ingin dicapai,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Mantan Menteri Pendidikan Malaysia itu berkata kebanyakan serangan yang dilemparkan itu lebih menjurus kepada peribadi dan berdasarkan dakwaan lama yang disifatkannya sebagai tidak tepat atau hanya sebahagian daripada fakta sebenar.

Menurutnya, perkara itu tidak menjejaskan tumpuannya kerana beliau lebih mengutamakan usaha mendekati rakyat dan memahami keperluan mereka.

Dr Maszlee berkata sambutan yang diterimanya sepanjang minggu pertama kempen tersebut juga jauh melebihi jangkaan sehingga meningkatkan keyakinannya terhadap sokongan pengundi.

“Selepas seminggu berkempen, sambutannya begitu luar biasa dan di luar jangkaan saya. Saya dapat merasakan semangat yang tinggi dalam kalangan pengundi dan pada masa yang sama, semakin memahami keadaan sebenar yang dihadapi masyarakat di Puteri Wangsa,” katanya.

Beliau berkata DUN Puteri Wangsa mencerminkan kepelbagaian masyarakat Johor kerana merangkumi kawasan perumahan mewah, pusat bandar, kampung tradisional, kawasan setinggan, Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) serta masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang ekonomi.

Jelasnya, setiap kelompok mempunyai keperluan berbeza, namun terdapat beberapa isu utama yang dikongsi hampir semua penduduk.

“Antara isu yang paling kerap dibangkitkan ialah kesesakan lalu lintas, keadaan jalan raya yang memerlukan penyelenggaraan, banjir di beberapa kawasan, keciciran pendidikan dalam kalangan sebahagian masyarakat serta masalah sosial,” katanya.

Mengulas strategi menjelang hari pengundian, Dr Maszlee berkata tumpuan utama kini ialah menggalakkan seramai mungkin pengundi keluar mengundi pada 11 Julai ini, termasuk mereka yang bekerja di luar Johor dan di Singapura.

Beliau mengakui usaha itu mencabar kerana ramai pengundi perlu menanggung kos untuk pulang mengundi, namun berharap mereka menyedari bahawa setiap undi penting dalam menentukan masa depan negeri itu.

Dr Maszlee berkata beliau juga telah meliputi hampir keseluruhan kawasan Puteri Wangsa menerusi pendekatan mengikut lokaliti dan kawasan kejiranan, selain memulakan tinjauan di kawasan berkenaan sebelum tempoh rasmi berkempen bermula.

“Saya mahu memahami masalah penduduk dengan lebih mendalam supaya penyelesaian yang ditawarkan benar-benar menepati keperluan mereka,” katanya.

Kerusi DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertandingan lima penjuru pada PRN Johor ke-16 selepas kesemua lima kertas penamaan calon yang diterima disahkan layak bertanding.

Lima calon yang akan bertanding mengikut susunan dalam kertas undi, iaitu Encik Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia), Encik Wang Wesz Zong (Bebas), Dr Maszlee (Pakatan Harapan), Cik Rashifa Aljunied (Parti Ikatan Demokratik Malaysia, Muda) dan Cik Tiow Chia Ling (Barisan Nasional).