Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Johor: Tiada kejutan Hari Penamaan Calon, tetapi saingan pelbagai penjuru jadi tumpuan
PRN Johor: Tiada kejutan Hari Penamaan Calon, tetapi saingan pelbagai penjuru jadi tumpuan
PRN Johor: Tiada kejutan Hari Penamaan Calon, tetapi saingan pelbagai penjuru jadi tumpuan
Tiada kejutan yang berlaku pada Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026, namun persaingan pelbagai penjuru di banyak kawasan dewan undangan negeri boleh mencetuskan kemungkinan berlakunya pecah undi pembangkang, kata penganalisis politik.
Ini sekali gus akan memberi kelebihan kepada dominasi Barisan Nasional (BN), yang menang besar sebanyak 40 daripada 56 kerusi pada pilihan raya 2022.
Meski BN – termasuk parti utamanya, Umno – adalah sebahagian daripada gabungan kerajaan perpaduan di samping Pakatan Harapan (PH) di peringkat persekutuan, ia bergerak secara solo dalam pilihan raya negeri itu.
Kedua-dua BN dan PH masing-masing bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor 2026, dengan senarai calon bagi setiap pakatan telah didedahkan sejak beberapa hari lalu.
Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya berkata walaupun tiada kejutan besar dari segi calon utama pada Hari Penamaan Calon, perkembangan paling penting adalah banyaknya pertandingan pelbagai penjuru, termasuk kemunculan Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan calon bebas.
“Ini boleh memecahkan undi pembangkang dan memberi kelebihan relatif kepada BN.
“Puteri Wangsa, kerusi bandar dan kerusi marginal perlu diberikan perhatian kerana menjadi ukuran penerimaan terhadap tokoh serta parti baharu,” kata beliau kepada Berita Harian (BH).
Pakar geostrategi dan zamil kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, pula berpandangan bahawa “secara spesifiknya, wujud calon Bersama dengan PH akan pecahkan undi antara dua parti ini, dan juga wujud PAS (Parti Islam SeMalaysia) (di bawah Perikatan Nasional (PN)) yang akan memecahkan undi BN”.
Secara keseluruhannya, seramai 172 calon layak bertanding pada PRN Johor 2026, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya pada 27 Jun, iaitu Hari Penamaan Calon.
Selain BN dan PH yang masing-masing akan berusaha merebut kesemua 56 kerusi DUN, Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan 33 calon; Bersama ada 15 calon; dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula empat calon.
Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia dan Parti Orang Asli Malaysia masing-masing mempunyai seorang calon, manakala terdapat enam calon bebas yang juga bertanding.
Dari segi corak pertandingan, terdapat 27 kerusi yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru, 12 saingan empat penjuru, dan tiga pertembungan lima penjuru dalam pilihan raya kali ini.
Pada PRN Johor pada 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memenangi 12 kerusi, PN tiga kerusi dan Muda satu kerusi.
Antara kawasan yang akan menyaksikan persaingan pelbagai penjuru dalam PRN 2026 ialah Puteri Wangsa, yang berdepan dengan saingan lima penjuru.
Calon PH, mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, akan bertentang dengan Cik Rashifa Aljunied, calon Muda yang akan cuba mempertahankan pengaruh partinya di Puteri Wangsa, dan juga tiga calon lain – calon BN, Cik Teow Chia Ling; calon Bersama, Encik Nicholas Paul Vincent; dan calon bebas, Encik Wang Wee Siong.
Satu lagi kawasan hangat dengan pertembungan lima penjuru ialah Bukit Batu, di mana PH menang tipis dengan kelebihan hanya 137 undi pada PRN 2022, iaitu margin terkecil daripada kesemua 56 kawasan yang bertanding.
Di sinilah, Bersama pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli, berkemungkinan besar akan mencatatkan kemenangan. Bagaimanapun, ada kemungkinan juga parti tersebut akan memecahkan undi PH dan membuka jalan bagi BN untuk merampas semula DUN berkenaan.
Beberapa rakyat Johor yang ditemui BH berkata mereka melihat PRN Johor itu sebagai satu ‘medan ujian’ bagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Encik Rohsawal Nizam Abdghafar, seorang penyokong BN yang berusia 52 tahun, berkata PRN Johor itu akan menjadi penentu bagi PRU ke-16 yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada atau sebelum 19 Februari 2028.
“Ini (PRN) adalah pencetus untuk menunjukkan… jika kami menang dan dapat memerintah lebih daripada 40 kerusi, ini adalah penentu pada kerajaan pusat bagi PRU ke-16 yang akan datang,” kata beliau.
Penyokong PH, Encik Aminudin Alias, 61 tahun, pula berpandangan keputusan PRN Johor akan memberi kesan kepada PRU kerana ia akan memberi bayangan kepada kerajaan di manakah terletaknya sokongan rakyat.
“Kalau PH menang, maknanya PH akan kekal di Putrajaya. Tapi kalau BN yang menang, BN mungkin merasakan mereka ada kekuatan tersendiri.”
“Tetapi harus dilihat juga dari segi voter turnout kerana pada PRN 2022, jumlahnya kurang daripada 50 peratus... Persoalannya adalah sejauh mana orang ramai keluar mengundi nanti, lebih-lebih lagi anak-anak muda,” kata beliau.
Profesor Dr Awang Azman berkata BN mempunyai peluang realistik mempertahankan atau melepasi 40 kerusi kerana kelebihan penyandang, organisasi akar umbi dan imej kestabilan di bawah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang juga pengerusi BN Johor.
Namun, sasaran menyapu bersih 56 kerusi kurang realistik kerana PH masih kuat di beberapa kawasan bandar dan kerusi majoriti bukan Melayu.
“PH boleh mencabar, tetapi perlu meningkatkan keluar mengundi serta mengelakkan undinya terpecah kepada Bersama, PN dan calon lain,” kata beliau.
Melahirkan pandangan, Zamil Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun, pula berkata setiap parti dan pakatan mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri, “cuma tidak tahu kelemahan parti manakah yang akan lebih menjejas peluang mereka dalam pilihan raya dan itulah perkara yang sedang diperhatikan”.
Sekitar 2.73 juta orang layak mengundi pada PRN Johor 2026, dengan undian awal akan diadakan pada 7 Julai, manakala Hari Mengundi adalah pada 11 Julai.
