Mayat dikerat tujuh bahagian di Kota Kinabalu, polis kesan saki-baki anggota tubuh
Mayat dikerat tujuh bahagian di Kota Kinabalu, polis kesan saki-baki anggota tubuh
KOTA KINABALU (Sabah): Penduduk Taman Indah Permai, Kota Kinabalu, Sabah, dikejutkan oleh penemuan mayat manusia yang dikerat-kerat di tempat pembuangan sampah, sekitar 7 pagi, 12 Februari.
Mayat dipercayai wanita itu disyaki mangsa pembunuhan kejam. Anggota badannya dipotong kepada tujuh bahagian, dipercayai menggunakan senjata tajam.
Lebih memilukan, cebisan anggota badan mangsa dibuang di beberapa lokasi pembuangan sampah di Taman Indah Permai.
Harian Metro melaporkan, mangsa dipercayai dikerat pada bahagian leher, badan, punggung, kedua-dua tangan dan kaki, sebelum dimasukkan ke dalam plastik sampah dan dibuang berasingan.
Kisah ngeri itu terbongkar sekitar 6.30 pagi apabila seorang pekerja lori sampah yang sedang terkejut melihat anggota tangan manusia terjatuh dari tong sampah ketika dimasukkan ke dalam lori.
Pemeriksaan lanjut menemukan satu lagi anggota badan iaitu kaki, dalam tong sampah sama, dan pekerja itu segera memaklumkan kepada polis.
Sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama pekerja lori sampah kemudian menjalankan pencarian rapi, termasuk menyelongkar semula sampah di dalam lori serta memeriksa lokasi pembuangan sampah berhampiran.
Turut berada di lokasi bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ialah Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Unit Anjing Pengesan (K9) IPK Sabah.
Pada 11.40 pagi hari sama, kepala dan badan mangsa ditemui di satu lagi tempat pembuangan sampah berhampiran Pasaraya Bataras Indah Permai.
Bagaimanapun, dua lagi anggota tubuh mangsa iaitu tangan kanan dan kaki kiri masih belum ditemui dan usaha mengesannya giat dijalankan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat awal pada 8 pagi sebelum pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati beberapa bahagian tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah serta di sekitar kawasan rumah kedai di Taman Indah Permai.
“Semua bahagian yang dijumpai dipercayai milik mangsa sama. Identiti mangsa setakat ini masih belum dapat dipastikan dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti identiti serta mengesan waris terdekat,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Forensik HQE I serta K9 turut menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi bagi tujuan pengumpulan bahan bukti dan membantu siasatan.
“Berdasarkan pemerhatian awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuhnya dibuang di kawasan rumah kedai berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HQE I dan bedah siasat dijadualkan pada 8.30 pagi 13 Februari dan kes disiasat atas kejadian bunuh,” katanya.

