Bukan semua guru mampu mengajar tanpa berkata-kata.
Namun, ada yang terbujur kaku dalam sejuk makmal tetapi menjadi titik mula perjalanan seorang anak muda memahami kehidupan melalui kematian.
Bagi pelajar perubatan, teori sahaja tidak cukup melengkapkan pembelajaran justeru peranan kadaver, jasad manusia yang didermakan untuk tujuan pendidikan, sangat besar.
Walaupun bagi sesetengah pihak, isu itu masih dianggap sensitif terutama dari sudut budaya dan kepercayaan, hakikatnya tiada pengganti sebenar bagi pengalaman menyentuh, memerhati dan memahami tubuh manusia sebenar.
Pensyarah Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Rasyidah Rehir, berkata isu keperluan kadaver dalam pengajian perubatan di Malaysia selalu diperkatakan tetapi agak sukar diselesaikan kerana pelbagai kekangan.
Katanya, pada masa ini bagi kebanyakan pengajian perubatan di universiti awam (UA) hanya menerima purata satu mayat tidak dituntut setahun untuk tujuan pembelajaran.
Jumlah itu dilihat terlalu kecil untuk menampung ribuan pelajar perubatan di UA, manakala universiti swasta langsung tidak mendapat akses, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Disebabkan setakat ini, kita hanya bergantung kepada mayat tidak dituntut, jumlahnya terlalu sedikit.
“Sebab itu juga, ia perlu diawet supaya boleh digunakan bertahun-tahun, malah di UKM, ada jasad yang sudah digunakan selama lebih 20 tahun.
“Sebab itu kita mahu bangunkan pusat kadaver bagi memastikan pelajar dan pakar bedah mendapat pendedahan secukupnya.
“Kadaver kekal sebagai ‘gold standard’ dalam pendidikan perubatan. Model plastik atau teknologi ‘3D printing’ tidak mampu menggantikannya kerana dari segi warna, tekstur dan fungsi ia tetap berbeza,” katanya.
Dr Rasyidah berkata beberapa negara jiran termasuk Thailand sudah lama mempunyai pusat latihan menggunakan kadaver, manakala pakar perubatan Malaysia pula terpaksa ke luar negara untuk mendapatkan latihan sama.
Justeru, beliau yang juga penerima Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa 2025, berkata ingin membawa teknik pengawetan ‘thiel embalming’ yang digunakan di luar negara melalui program sangkutan tajaan Merdeka Award Trust.
Dr Rasyidah berkata ketika ini, selain kadaver dalam kalangan mayat tidak dituntut, berlaku juga pengikrar yang rela mendermakan jasad mereka untuk kajian.
Umumnya ia berlaku dalam kalangan penghidap kanser.
Mereka akan menandatangani persetujuan awal, sedia untuk mendermakan jasad apabila meninggal dunia, namun realitinya tidak semudah itu.
“Walaupun ada persetujuan penderma, jika keluarga menolak selepas kematian berlaku, tubuh tidak boleh diserahkan kepada universiti.
“Ini menunjukkan betapa besar pengaruh budaya dan emosi waris dalam isu ini,” katanya.
Selain itu katanya, universiti juga belum bersedia sepenuhnya dari segi kemudahan dan tenaga kerja. Misalnya, keperluan terhadap peti sejuk khas untuk simpanan kadaver sebelum proses pengawetan.
Dr Rasyidah berkata untuk jangka masa panjang masyarakat perlu dididik bahawa selepas kematian, masih ada jasa terakhir yang boleh diberikan iaitu menyumbang tubuh untuk pengajaran dan penyelidikan demi meningkatkan taraf kesihatan rakyat.
Setakat ini katanya, kesedaran itu sudah ada tetapi agak perlahan.
Di Universiti Malaya (UM) dan sebuah institusi swasta di ibu kota, sudah bermula program yang dinamakan ‘Silent Mentor’, manakala di UKM ia masih dalam proses menyediakan kemudahan sebelum menerima pendermaan.
Ia adalah wadah kepada orang awam menyumbang kepada pendekatan pendidikan perubatan yang lebih menyeluruh.
Justeru Dr Rasyidah berharap masyarakat lebih terbuka membincangkan mengenai pendermaan tubuh seperti mana isu pendermaan organ yang sudah menjadi hal tidak asing dalam kalangan awam.
“Promosi mengenai pendermaan tubuh masih belum meluas, ramai rakyat Malaysia tidak tahu kewujudannya.
“Selain itu, isu berkaitan etika dan undang-undang juga perlu digerakkan seiring dengan bimbingan agama sebelum program ini dapat dilaksanakan secara meluas.
“Pertama, kita mendapatkan pandangan tokoh agama pelbagai latar untuk memastikan ia selari dengan sensitiviti masyarakat.
“Kedua, perlu kerjasama dengan penggubal undang-undang bagi mewujudkan peraturan khusus melindungi penderma dan ahli keluarga.
“Di United Kingdom misalnya, penderma menandatangani borang keizinan lebih awal, termasuk memilih sama ada tubuh digunakan untuk pengajaran sahaja atau juga penyelidikan.
“Mereka juga boleh melantik seorang atau dua waris sebagai saksi. Jika waris bersetuju ketika penderma meninggal dunia, tubuh boleh diserahkan kepada universiti tetapi jika waris menolak, tubuh tidak boleh didermakan,” katanya.
Pada masa sama, Dr Rasyidah menegaskan pendermaan tubuh tidak seharusnya dilihat bercanggah dengan nilai kemanusiaan, sebaliknya sebagai satu bentuk amal jariah moden yang memberi manfaat jangka panjang.
“Seperti pendermaan organ yang menyelamatkan nyawa, pendermaan tubuh pula meningkatkan mutu latihan doktor dan pakar bedah.
“Dengan garis panduan syariah yang jelas, ia boleh diterima masyarakat tanpa menjejaskan pegangan agama dan budaya,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg