Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor cadang laksana bajet iklim, sasar jadi peneraju kewangan hijau negara

Dec 15, 2025 | 3:58 PM
Anuar Abd Manap, johor
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor, Encik Anuar Abd Manap. - Foto fail

Johor berhasrat melaksanakan pendekatan penandaan bajet iklim atau Climate Budget Tagging (CBT) sebagai langkah strategik memperkukuh daya tahan negeri terhadap perubahan iklim, di samping meletakkan Johor sebagai peneraju kewangan iklim dan destinasi pelaburan hijau bertaraf antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor, Encik Anuar Abd Manap, berkata cadangan itu berasaskan realiti perubahan iklim telah memberi kesan langsung kepada negeri itu, termasuk bencana banjir besar pada 2023 yang mengakibatkan kerugian ekonomi melebihi RM500 juta ($157 juta).

“Johor kini muncul sebagai tumpuan pelaburan strategik global, khususnya dalam sektor pusat data yang berkembang pesat dan mempunyai keperluan tenaga serta air yang tinggi, sekali gus menuntut pendekatan pembangunan yang lebih mampan dan bertanggungjawab.

“Syarikat teknologi antarabangsa seperti Google, Microsoft dan Amazon kini hanya melabur di lokasi yang menunjukkan komitmen jelas terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus atau ESG, selari dengan trend pelaburan hijau global yang kini dianggarkan bernilai AS35 trilion ($45.2 trilon) dan dijangka meningkat kepada AS50 trilion menjelang 2030.

“Johor perlu bergerak secara proaktif dengan pendekatan kewangan awam yang mengambil kira risiko dan keperluan iklim agar negeri ini kekal berdaya tahan, di samping terus menarik pelaburan bermutu tinggi,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Encik Anuar menjelaskan CBT ialah mekanisme yang membolehkan kerajaan negeri menyusun bajet dengan mengambil kira aspek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim merentasi semua sektor, termasuk pertanian, industri, kesihatan, pendidikan dan prasarana, dan bukan terhad kepada alam sekitar semata-mata.

“Melalui CBT, perbelanjaan berkaitan iklim akan dikenal pasti, ditanda dan dijejaki sepanjang kitaran bajet, daripada peringkat perancangan dan kelulusan sehingga pelaksanaan serta audit, sekali gus membolehkan keberkesanan perbelanjaan iklim dinilai secara lebih telus dan berstruktur,” ujarnya.

Beliau berkata maklumat itu kemudian boleh dihimpunkan dalam laporan tahunan, ‘Bajet Iklim Johor’, yang bukan sahaja meningkatkan kebertanggungjawapan rakyat, malah menjadi dokumen rujukan penting kepada pelabur dan rakan pembangunan antarabangsa bagi menilai iltizam Johor terhadap prinsip ESG.

Menurutnya, CBT turut memastikan bajet negeri selari dengan dasar pembangunan Johor, Pelan Induk Ekonomi Johor serta komitmen iklim nasional dan antarabangsa seperti Nationally Determined Contributions dan National Adaptation Plan, sekali gus membolehkan keputusan perbelanjaan dibuat secara lebih strategik dan berimpak tinggi.

Dari sudut ekonomi, Encik Anuar berkata pelaksanaan CBT memberi peluang besar kepada Johor menarik lebih banyak pelaburan hijau antarabangsa, khususnya dalam sektor pusat data yang kini mencatat kapasiti melebihi 1,500 megawatt dengan nilai pelaburan baru sekitar RM17 bilion direkodkan pada 2024.

“Dengan sistem bajet iklim yang telus, Johor dapat menghantar isyarat jelas kepada pelabur bahawa negeri ini serius dalam pembangunan mampan dan bersedia menjadi hab data hijau serantau,” katanya.

Beliau turut menekankan dari sudut pentadbiran, CBT akan membantu mengelakkan pertindihan peruntukan, khususnya dalam projek mitigasi banjir, selain memastikan setiap ringgit dibelanjakan untuk hasil iklim yang lebih pantas dan berkesan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg