KUCHING (Sarawak): Pencarian tiga pelajar yang hilang selepas perahu penambang yang dinaiki mereka karam di Sungai Kayan, Kampung Selampit di Lundu, Kuching, Sarawak, ketika dalam perjalanan ke sekolah pada 20 Ogos berakhir dengan penemuan mayat kesemua mereka dalam keadaan tidak bernyawa.
Ketiga-tiga mangsa – pelajar perempuan, Alsma Jithil, 14 tahun, ditemui kira-kira 6.40 pagi pada 22 Ogos, manakala Helena Fasha Petrus, 16 tahun, dan seorang pelajar lelaki, Vilkie Wilson, 15 tahun, masing-masing ditemui pada 5.30 petang dan 11.30 pagi pada 21 Ogos.
Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui terapung antara kira-kira 100 meter hingga satu kilometer daripada lokasi perahu penambang itu karam.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Encik Tiong Ling Hii, berkata mayat semua mangsa diambil oleh anggota Polis Pantai Sarawak yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian kira-kira 6.10 pagi pada 20 Ogos, seramai 15 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong, seorang pelajar SMK Lundu dan empat penduduk kampung termasuk pengemudi menaiki perahu tambang berkenaan.
Kejadian itu berlaku ketika hujan lebat dan arus sungai deras.
Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.30 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dikerah ke tempat kejadian.
Operasi SAR yang diaktifkan pada pagi 20 Ogos turut disertai anggota penyelam dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Batu Lintang, selain khidmat anjing pengesan turut dibawa ke tempat kejadian bagi membantu operasi mengesan mangsa.
Kejadian seumpamanya pernah berlaku sebelum ini pada 13 Oktober 2023, apabila 20 penumpang perahu penambang, termasuk 11 pelajar sekolah menengah, menempuh detik cemas apabila perahu itu karam di Sungai Sarawak.
Perahu itu turut membawa enam motosikal menyeberangi sungai. Bagaimanapun, semua penumpang terselamat apabila mereka dapat berenang ke tebing sungai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg