KUCHING: Dua pelajar perempuan hilang selepas perahu tambang yang mereka naiki karam ketika menyeberangi Sungai Kayan, di Kampung Selampit, Lundu, Sarawak, pada 20 Ogos.
Ketika kejadian kira-kira 6.10 pagi itu difahamkan bahawa 15 pelajar menaiki perahu tersebut untuk ke sekolah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.33 pagi.
Sepasukan tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dikerah ke lokasi kejadian.
Menurutnya, menurut laporan awal yang diterima pihaknya, tiga pelajar dilaporkan hilang namun seorang daripada mereka kemudian ditemui.
“Pencarian awal sudah dilancarkan oleh penduduk dan berjaya menemukan seorang mangsa, iaitu pelajar lelaki Abraham Nyoeng, 16 tahun, dalam keadaan selamat.
“Anggota bomba kini meneruskan pencarian bersama penduduk kampung untuk mengesan dua lagi pelajar perempuan, iaitu Alsma Jithil, 14 tahun, dan Helena Fasha Petrus, 17 tahun,” katanya, lapor Harian Metro.
Kejadian seumpamanya berlaku sebelum ini pada 13 Oktober 2023, apabila 20 penumpang perahu penambang, termasuk 11 pelajar sekolah menengah, menempuh detik cemas apabila perahu itu karam di Sungai Sarawak.
Perahu itu turut membawa enam motosikal menyeberangi sungai.
Bagaimanapun, semua penumpang terselamat apabila mereka berenang ke tebing sungai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg