Ketika krisis pentadbiran dan institusi diraja di Negeri Sembilan yang berlarutan beberapa bulan dilihat semakin menemui penghujungnya, negeri yang terkenal dengan Adat Perpatih itu, sekali lagi mencetus perhatian dengan laporan peletakan jawatan Menteri Besar oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Umno/Barisan Nasional (BN), Datuk Ismail Lasim.

Kronologi kes menunjukkan seolah-olah wujud usaha menukar Menteri Besar Negeri Sembilan tanpa persetujuan empunya badan, apabila kenyataan mengenainya hanya dikeluarkan oleh BN menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pada malam 16 November.

Malah, Istana Negeri Sembilan yang kemudian mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan Menteri Besar itu pada 17 November, menegaskan bahawa surat peletakan jawatan itu belum disahkan ketulenannya.

Lebih menimbulkan polemik, surat peletakan jawatan itu telah terlebih dulu dihebahkan BN di laman sosial, sebelum ia sampai ke tangan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang berkuasa untuk memberi perkenan (izin atau persetujuan) dalam hal pelantikan dan peletakan jawatan Menteri Besar.

Ia sekali gus menyebabkan BN dilihat seolah-olah mendahului Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pada masa sama, Umno/BN telah menghantar nama pengganti Menteri Besar kepada Istana Negeri Sembilan, dengan spekulasi bertiup kencang bahawa parti itu mengemukakan nama Adun Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga Pengerusi Umno Negeri Sembilan.

Dan selepas beberapa hari membisu sejak 16 November mengenai kontroversi itu, Datuk Ismail pada 20 November, mengesahkan surat peletakan jawatan itu dihantar oleh pimpinan partinya kepada Istana Negeri Sembilan di luar persetujuannya.

“Saya tidak ada kemukakan atau berikan persetujuan untuk surat peletakan jawatan itu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Saya pun tak hantar sendiri surat itu kepada Tuanku Muhriz,” katanya pada sidang media pada 20 November di kediaman Menteri Besar di Seremban, Negeri Sembilan, selepas dititahkan (diperintahkan) oleh Tuanku Muhriz untuk kekal meneruskan tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Datuk Ismail, 67 tahun, yang juga Adun Juasseh terlebih dulu menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di Seremban, pada pagi 20 November sebagaimana yang telah dipersetujui lebih awal, iaitu sebelum surat peletakan jawatan Menteri Besar diserahkan BN ke Istana, pada malam 16 November.

Turut hadir pada pertemuan di istana berkenaan ialah tiga Undang yang pelantikannya diperkenan Tuanku Muhriz sebelum ini iaitu Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid; Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu Datuk Azrin Khairi.

Pada masa sama, Datuk Ismail turut mengesahkan surat peletakan jawatan itu berada dalam simpanan Umno/BN.

“Surat peletakan jawatan itu memang ada dalam simpanan parti, tetapi saya tidak pernah bersetuju ianya dihantar dalam keadaan begini,” jelasnya.

Umno diketahui mensyaratkan calon-calonnya yang bertanding dalam pilihan raya agar menandatangani surat peletakan jawatan dipercayai dengan butiran kosong, dikatakan bagi memberi kuasa kepada parti menggugurkan mana-mana wakil rakyat yang mengingkari arahan parti.

Bagaimanapun, menyusuli sidang media Datuk Ismail itu, Istana Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan susulan pada 20 November, menegaskan bahawa tidak timbul isu bahawa Istana Negeri Sembilan mahu beliau kekal sebagai Menteri Besar.

“Persoalan itu tidak timbul kerana beliau menegaskan bahawa beliau tidak meletak jawatan dan tidak bersetuju surat peletakan jawatan itu dikemukakan.

“Oleh kerana beliau sendiri menyatakan tidak meletakkan jawatan, adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa pihak Istana mahu beliau kekal sebagai Menteri Besar.

“Pihak Istana akan mematuhi sepenuhnya konvensyen dan peruntukan perlembagaan dan Datuk Ismail perlu menunjukkan beliau masih mendapat sokongan majoriti Adun,” kata Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali.

Penganalisis politik yang juga Profesor Kehormat Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid.
Penganalisis politik yang juga Profesor Kehormat Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid. - Foto fail

Penganalisis politik yang juga Profesor Kehormat Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, berkata kedudukan Datuk Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan masih berisiko, sekiranya beliau kehilangan sokongan majoriti Adun, meskipun Tuanku Muhriz menitahkan beliau meneruskan tugas.

Beliau berkata risiko itu boleh terjadi sekiranya Adun terutama wakil rakyat Umno/BN menarik balik sokongan terhadap Datuk Ismail.

Bagaimanapun, beliau berkata kehilangan sokongan majoriti perlu dibuktikan menerusi proses di Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk melalui usul undi tidak percaya apabila persidangan berlangsung.

“Selagi DUN belum bersidang, kedudukan itu belum dapat dipastikan,” katanya kepada Berita Harian (BH) ketika mengulas kemelut kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Profesor Ahmad Fauzi berkata kedudukan seseorang Menteri Besar Negeri Sembilan bukan sahaja bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar, malah perlu disokong kepercayaan majoriti Adun.

Mengulas kontroversi pengumuman peletakan jawatan Datuk Ismail oleh BN yang dilihat seperti mendahului Istana Negeri Sembilan, Profesor Ahmad Fauzi berkata perkara itu sepatutnya ditangani menerusi rundingan dan persefahaman antara parti yang mempunyai sokongan majoriti dengan institusi diraja.

Menurutnya pengumuman mengenai perubahan kepimpinan kerajaan negeri tidak seharusnya dibuat seolah-olah parti politik mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan siapakah yang menjadi Menteri Besar tanpa mengambil kira peranan institusi diraja.

“Biarlah kenyataan mengenai perkara itu dibuat oleh pihak Istana sendiri, bukan BN yang mengumumkan siapa perlu turun atau naik sebagai Menteri Besar.

“Perlu ada perundingan dan persefahaman antara parti majoriti dengan institusi diraja kerana ini membabitkan kedudukan dan kuasa kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata institusi monarki di Malaysia mempunyai peranan dalam kerangka perlembagaan dan tidak boleh dianggap sebagai institusi yang boleh diketepikan dalam urusan pelantikan Menteri Besar.

Sehubungan itu, katanya BN perlu segera memperbaiki hubungan dengan Istana bagi mengelakkan pertikaian berkenaan terus menjejas kestabilan politik dan pentadbiran negeri.

Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ikmal Hisham Mohd Tah.
Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ikmal Hisham Mohd Tah. - Foto fail

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ikmal Hisham Mohd Tah, berkata kedudukan Datuk Ismail yang kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan tidak semestinya menamatkan kemelut politik dan perlembagaan negeri itu, selagi pertikaian membabitkan institusi diraja, Undang Yang Empat serta pentadbiran kerajaan belum diselesaikan.

Jelasnya, kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri perlu dibezakan daripada kestabilan politik sebenar kerana kedudukan Datuk Ismail masih bergantung kepada kepercayaan majoriti Adun.

“Tekanan daripada kepimpinan parti semata-mata tidak secara automatik menyebabkan seseorang Menteri Besar kehilangan jawatan, sekiranya masih mendapat sokongan majoriti Adun,” katanya kepada BH mengulas kemungkinan Datuk Ismail meletakkan jawatan tanpa kerelaan.

Datuk Ismail pada sidang media 20 November turut mengulangi sumpah taat setia kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sambil menegaskan proklamasi dikeluarkan pada 19 April lalu untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yang di-Pertuan Besar sebagai tidak sah, tidak mempunyai apa-apa kesan serta tidak akan diwartakan.

Mengulas langkah yang perlu diambil Datuk Ismail yang terus kekal menerajui Kerajaan Negeri, Dr Mohd Ikmal berkata keutamaan perlu diberikan kepada usaha memulihkan kestabilan pentadbiran berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.

Beliau berkata setiap keputusan Kerajaan Negeri perlu dibuat berdasarkan bidang kuasa yang sah bagi memastikan urusan pentadbiran berjalan teratur dan tidak menimbulkan pertikaian baharu.

“Pada masa sama, beliau perlu menyelesaikan isu hubungannya dengan parti politik, selain memastikan beliau mendapat sokongan majoriti wakil rakyat Umno-BN dan Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai dua pertiga kerusi DUN.

“Krisis Negeri Sembilan bukan sekadar persoalan siapa yang menjadi Menteri Besar, tetapi bagaimana kuasa politik, institusi Adat dan pemerintahan berperlembagaan dapat berfungsi secara harmoni.

“Pertukaran kepimpinan mungkin menyelesaikan persaingan politik, tetapi belum tentu menyelesaikan pertikaian perlembagaan yang mendasarinya,” ujar beliau.

Zamil Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Azmi Hassan.
Zamil Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Azmi Hassan. - Foto fail

Zamil Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Azmi Hassan, pula berpandangan, di sebalik spekulasi cubaan Umno/BN didakwa cuba menjatuhkan Datuk Ismail sebagai Menteri Besar, beliau melihat langkah Umno/BN itu adalah untuk merungkai masalah pentadbiran Negeri Sembilan yang berlarutan lama.

“Bagi saya Umno/BN melihat Datuk Ismail gagal menyelesaikan isu pentadbiran yang berbangkit apabila persidangan DUN belum boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Tuanku Muhriz sebelum ini.

“Justeru pertukaran Menteri Besar dilihat perlu sebagai langkah menuju penyelesaian krisis kerana kelancaran pentadbiran itu yang paling utama,” katanya kepada BH.

Datuk Ismail mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu, selepas BN dan rakan kerjasamanya, Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri ke-16, pada 1 Ogos lalu.

PRN itu diadakan selepas Menteri Besar sebelum itu dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun, gagal menyelesaikan kemelut institusi Adat (Undang) dengan institusi Raja di negeri itu, dalam isu pertikaian takhta sejak April lalu.

Selepas beberapa bulan berlarutan, krisis itu turut menjejas pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Datuk Ismail.

Ini termasuk pembatalan pelantikan 10 Exco Kerajaan Negeri oleh Tuanku Muhriz pada 20 September, selepas mereka mengesahkan pelucutan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 16 September, yang kemudian disokong oleh Datuk Ismail, sehari kemudian.

Pada 5 Oktober, 10 Exco terbabit memfailkan saman pemula terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan, bagi mencabar pembatalan lantikan Exco, namun menarik balik saman pada 18 November.

“

“Krisis Negeri Sembilan bukan sekadar persoalan siapa yang menjadi Menteri Besar, tetapi bagaimana kuasa politik, institusi Adat dan pemerintahan berperlembagaan dapat berfungsi secara harmoni. Pertukaran kepimpinan mungkin menyelesaikan persaingan politik, tetapi belum tentu menyelesaikan pertikaian perlembagaan yang mendasarinya.”
 Dr Ikmal Hisham Mohd Tah, Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“

“Bagi saya Umno/BN melihat Datuk Ismail gagal menyelesaikan isu pentadbiran yang berbangkit apabila persidangan DUN belum boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Tuanku Muhriz sebelum ini. Justeru pertukaran Menteri Besar dilihat perlu sebagai langkah menuju penyelesaian krisis kerana kelancaran pentadbiran itu yang paling utama.”
Profesor Dr Azmi Hassan, Zamil Kanan Majlis Profesor Negara.

“

“Biarlah kenyataan mengenai perkara itu dibuat oleh pihak Istana sendiri, bukan BN yang mengumumkan siapa perlu turun atau naik sebagai Menteri Besar. Perlu ada perundingan dan persefahaman antara parti majoriti dengan institusi diraja kerana ini membabitkan kedudukan dan kuasa kedua-dua pihak.”
Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, Profesor Kehormat Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM).