Topik diikuti
Pergi ke BHku10 Adun N. Sembilan tarik balik saman cabar pembatalan lantikan Exco
MB pula dilihat terus bertugas walau didakwa letak jawatan
10 Adun N. Sembilan tarik balik saman cabar pembatalan lantikan Exco
SEREMBAN: Seramai 10 mantan ahli Exco Negeri Sembilan menarik balik saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan, pada 5 Oktober lalu, bagi mencabar kesahihan warta yang membatalkan pelantikan mereka daripada jawatan itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Seremban Roz Mawar Rozain membenarkan penarikan balik saman itu selepas dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peguam Exco terbabit selaku plaintif, Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Dalam prosiding secara dalam talian pada 18 November, Datuk Hafarizam memaklumkan kepada Hakim bahawa keputusan menarik balik saman itu dibuat susulan perkembangan semasa.
Beliau merujuk kepada peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, yang diumumkan partinya, Barisan Nasional (BN), pada 16 November.
“Alasan penarikan balik saman ini adalah kerana perkembangan semasa telah mengatasi perkara yang dibangkitkan dan bahawa anggota Exco negeri, selaras dengan peruntukan perlembagaan, apabila seseorang Menteri Besar meletakkan jawatan, keseluruhan Exco juga akan gugur atau terbubar,” katanya, lapor Malaysiakini.
Hakim Roz Mawar turut memerintahkan plaintif membayar kos seperti dipersetujui bersama pihak defendan, iaitu RM20,000 ($6,296) masing-masing kepada defendan pertama dan kedua serta RM8,000 kepada defendan ketiga.
Datuk Hafarizam berkata plaintif tetap bertegas untuk menarik balik saman itu walaupun Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, setakat 18 November, masih belum mengeluarkan sebarang pengesahan berhubung peletakan jawatan Datuk Ismail.
Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 anggota Exco terbabit pada 21 September lalu, atas dakwaan mereka melanggar sumpah jawatan, apabila mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yamtuan (panggilan untuk Yang di-Pertuan Besar).
Datuk Ismail, menerusi kenyataan partinya, Barisan Nasional (BN), dilaporkan meletak jawatan Menteri Besar yang disandang sejak 2 Ogos lalu, selepas BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, pada 1 Ogos lalu.
Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi daripada Datuk Ismail sendiri mengenainya sehingga kini.
Status peletakan jawatan Datuk Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan itu terus menimbulkan tanda tanya, apabila beliau didapati meneruskan tugasannya seperti biasa, yang dikongsi menerusi hantaran di Facebook rasminya pada 18 November.
Perkembangan itu berlaku selepas Datuk Ismail dilaporkan menghadap Tuanku Muhriz pada petang 17 November, menyusuli laporan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar itu.
Berita Harian Malaysia melaporkan meskipun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh itu dikatakan menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar, kepada Istana Negeri Sembilan seperti dinyatakan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zamry Abd Kadir, surat berkenaan belum disahkan ketulenannya.
Difahamkan, hasil pertemuan itu, Tuanku Muhriz memerintahkan Datuk Ismail supaya meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar seperti biasa.
Sementara itu, Pengerusi BN merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 18 November, dilaporkan berkata pihaknya masih menunggu titah untuk menghadap Tuanku Muhriz, berhubung isu jawatan Menteri Besar negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau percaya warkah berhubung perkara berkenaan sudah diutus bagi mempersembahkan nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Datuk Zahid berkata partinya telah menghantar satu nama untuk menggantikan Datuk Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, menyusuli peletakan jawatannya pada 16 November.