SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, mendapatkan rawatan di hospital swasta, di Seremban, Negeri Sembilan, pada malam 21 November lalu, akibat demam.

Setiausaha Akhbarnya, Encik Mohd Fasha Musthafa, ketika dihubungi mengesahkan keadaan Datuk Ismail.

“Alhamdulillah, keadaannya dilaporkan semakin pulih. Terima kasih atas keprihatinan semua.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar beliau segera sembuh dan dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Perkembangan kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh itu hadir selepas 24 Adun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh atas apa jua arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti.

Kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan khas dihadiri 22 Adun BN berkenaan pada malam 20 November di Seremban.

Pertemuan yang diketuai Timbalan Pengerusi BN Pusat merangkap Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, pada malam 20 November diadakan menyusuli keputusan Istana Negeri Sembilan mengekalkan Datuk Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Datuk Mohamad bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik apa ketetapan yang akan dibuat parti dalam isu perjawatan Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Katanya mesyuarat itu dihadiri 22 Adun BN dan PN, dengan semuanya sepakat dengan keputusan perjumpaan itu.

“Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang juga Adun Juasseh tidak hadir.

“Dua lagi Adun iaitu Encik Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) kini berada di luar negara, namun masing-masing menyatakan sokongan terhadap keputusan dibuat dalam pertemuan khas itu.

Pada 20 November lalu, Datuk Ismail dalam satu sidang media memaklumkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, memperkenankan (mempersetujui) untuk beliau meneruskan tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Kenyataan itu menyusuli pertemuan Datuk Ismail dengan Tuanku Muhriz, sebaik Adun Umno itu diterima menghadap di Istana Hinggap, Seremban, selepas berlaku konflik.

BN menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dalam satu kenyataan pada malam 16 November lalu melaporkan, Datuk Ismail telah meletakkan jawatan Menteri Besar, yang didakwa akibat krisis pentadbiran dan institusi diraja di negeri itu, yang berlarutan sehingga menjejaskan perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Namun pada sidang media 20 November itu, Datuk Ismail juga menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengemukakan atau memberikan persetujuan berhubung surat peletakan jawatannya yang diserahkan kepada Tuanku Muhriz.

Dengan penjelasannya itu, Tuanku Muhriz dilaporkan memberi perkenan supaya Datuk Ismail menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Namun, Istana Negeri Sembilan dalam masa sama menegaskan keperluan untuk Datuk Ismail membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti Adun untuk terus kekal menerajui Kerajaan Negeri Sembilan.