JOHOR BAHRU: Empat tukang masak dari Pulau Pinang sanggup menetap di Johor selama sebulan sepanjang Ramadan, khusus untuk menyediakan juadah istimewa bubur lambuk Masjid India Datuk Ahmad Awang atau lebih dikenali Masjid India Jalan Duke di Johor Bahru.
Dalam sehari, hampir 500 bungkus bubur lambuk dimasak hasil ‘air tangan’ mereka, yang diketuai tukang masak, Sheikh Abdul Rahman Mohd Halifah, 50 tahun, dan pembantu tukang masak, Encik Assan Basari, 45 tahun.
Mengakui tidak sabar menerima panggilan telefon daripada pihak pengurusan Masjid India Datuk Ahmad Awang setiap kali hampir tiba bulan Ramadan, Encik Assan berkata beliau menyertai pasukan memasak itu sejak sembilan tahun lalu.
“Saya berasal dari Kampung Kolam, Georgetown, Pulau Pinang. Memang mai (datang) ke Johor Bahru setahun sekali selama sebulan hanya untuk memasak bubur lambuk di sini.
“Bubur ini rasanya berbeza, lebih istimewa ia penuh dengan rasa daging. Di Pulau Pinang tiada bubur lambuk seperti ini kerana kami hanya masak di sini dan menetap di Johor sepanjang Ramadan.
“Sepanjang berada di sini rasa sangat seronok. Walaupun hanya sebulan memasak di sini, perasaan itu macam sudah bertahun-tahun duduk di sini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid India Datuk Ahmad Awang, lapor Harian Metro.
Menurut Encik Assan, apa yang membuatkan mereka lebih terharu ialah sambutan dan sokongan orang ramai setiap kali mengambil bubur lambuk di masjid itu.
“Alhamdulillah kami dapat rasa kasih sayang dan silaturahim yang baik dengan penduduk di Johor Bahru ini dan insya-Allah jika panjang umur kami akan terus datang ke sini pada Ramadan tahun-tahun mendatang sekiranya dijemput lagi,” katanya.
Proses memasak ujar Encik Assan bermula 8 pagi dan berakhir 12 tengah hari.
Pada sebelah petang, menu berbuka disediakan dan ia berbeza setiap hari bagi umat Islam yang berbuka di masjid itu.
“Bubur akan diedarkan selepas zuhur dan untuk berbuka di masjid.
“Ramai yang datang ambil bubur bukan saja kariah masjid, malah pelancong, peniaga, pekerja, warga asing dan gelandangan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg