KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan lelaki dipercayai penyokong bola sepak yang bertindak ganas bergaduh sesama sendiri dan merosakkan kenderaan awam di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan pada tengah malam 21 Disember.
Menterinya, Hannah Yeoh, berkata pihaknya amat kecewa dengan insiden yang berlaku selepas perlawanan Malaysia bertemu Singapura peringkat saringan Piala AFF Mitsubishi Cup 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“Saya amat kecewa dengan kejadian itu, yang membabitkan antara Singapura dan Malaysia.
“Kami mengecam sebarang tindakan yang melanggar Kod Etika Sukan Selamat. Kod ini bukan sahaja untuk atlet dan jurulatih, tetapi juga untuk penonton,” katanya ketika ditemui media seberang pada perlawanan akhir Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 21 Disember, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Hannah berkata, setiap penyokong perlu menerima dengan hati terbuka jika pasukan kesayangan mereka mendapat keputusan yang kurang memuaskan, kerana kalah menang adalah adat dalam perlawanan.
“Menang atau kalah adalah adat dalam pertandingan dan kita mesti menghormati satu sama lain,” ujarnya.
Menurutnya, setiap penyokong bertanggungjawab untuk menjaga kemudahan dan prasarana demi kebaikan bersama.
“Semua ini adalah aset kerajaan, yang dibiayai oleh wang pembayar cukai dan kita mesti menjaga aset ini dengan penuh tanggungjawab.
“Kemudahan dan prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) harus dijaga dengan baik. Kita tidak boleh menganggapnya remeh. Saya berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang.
“Kemudahan sukan seharusnya dapat dimanfaatkan untuk menyenangkan penyokong bola sepak dan kita harus membalasnya dengan adab yang baik,” katanya lagi.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan insiden pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di sebuah stesen LRT.
Insiden itu berlaku selepas perlawanan terakhir Kumpulan A antara pasukan Malaysia menentang Singapura yang menyaksikan misi skuad Harimau Malaya untuk melangkah ke pusingan separuh akhir berkecai selepas seri tanpa jaringan.
Keputusan tersebut menyaksikan Singapura kekal selaku naib juara kumpulan berkenaan dengan mengutip tujuh mata, manakala Malaysia terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga dengan lima mata.
Kejadian tersebut yang berlaku pada 12 tengah malam, 21 Disember, telah dilaporkan kepada polis.
Ia dikatakan telah mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen termasuk bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform berkenaan, namun tiada kecederaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Penolong Pesuruhjaya, Aidil Bolhassan, pula mengesahkan kejadian tersebut melibatkan antara 20 hingga 30 orang yang bertindak ganas dengan bertumbuk, membaling tong sampah dan menendang pintu tren sehingga menyebabkan kerosakan. - BHM
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg