Bukan pemain Singapura sahaja yang bertarung pada 20 Disember, penyokong Singapura juga ‘bertarung’ kesesakan dalam perjalanan mereka dari Stadium Jalan Besar ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah menyediakan lapan bas percuma bagi mereka yang telah membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan penentu Piala AFF Mitsubishi Electric antara Singapura dengan Malaysia.
Sekitar 300 penyokong telah mendaftar bagi menaiki bas tersebut untuk ke Kuala Lumpur dan menyokong pasukan Singapura beramai-ramai.
Antara mereka yang mendaftar, Muhaimin Abdul Rahman, 41 tahun, berkata:
“Saya memilih untuk ke perlawanan tersebut bersama penyokong lain kerana saya ingin mengenang kembali waktu dulu-dulu semasa Piala Malaysia di mana kami akan ke perlawanan beramai-beramai,”
Beliau ke perlawanan tersebut bersama anak dan anak saudaranya.
Namun, perjalanan bas tersebut jauh daripada lancar dan mengambil masa sekitar sembilan jam.
Walaupun mereka memulakan perjalanan awal pada 12 tengah hari, kesemua lapan bas sampai lewat, sekitar pengakhiran separuh masa pertama, di Stadium Nasional Bukit Jalil akibat kesesakan yang luar biasa dalam perjalanan mereka.
Namun, beliau berkongsi bahawa semangat untuk menyokong Singapura tidak pudar walaupun terpaksa merempuh kesesakan.
“Kami mendorong diri kami sendiri dengan memberi matlamat untuk menyemarakkan lagi suasana di stadium apabila kami tiba.
“Kami menyaksikan perlawanan tersebut melalui telefon bimbit kami dahulu dan turut nyanyi bersama mereka,” kongsi beliau.
Apabila mereka tiba, mereka menyertai sekitar 600 penyokong yang berada di Stadium Nasional Bukit Jalil pada masa itu.
Namun, keputusan perlawanan yang berakhir seri 0-0 antara Malaysia dan Singapura membuatkan segala usaha mereka berbaloi kerana Singapura layakkan diri ke separuh akhir Piala AFF ini, satu pencapaian yang amat membanggakan.
FAS juga memohon maaf atas “kelewatan yang tidak dijangka” dan “memahami kekecewaan peminat terhadap situasi ini.”
“Untuk menebus kekecewaan ini, dan sebagai tanda terima kasih kepada peminat atas komitmen mereka kepada pasukan Singa, kami akan menjemput penyokong untuk ke perlawanan kelayakan Piala Asia AFC tahun depan (2025),” kata FAS melalui Facebook pada 20 Disember.
Selain itu FAS juga memberi peluang bagi peminat untuk menyaksikan sesi latihan pasukan Singapura di mana mereka boleh melihat pemain Singpaura secara dekat.
FAS berharap dengan langkah ini, mereka dapat menunjukkan betapa setiap usaha dan kesetiaan peminat dihargai.
Menurut Muhaimin, walaupun mereka penat, mereka pulang ke Singapura sambil bernyanyi, meraikan kelayakan Singapura ke peringkat separuh akhir Piala AFF.
FAS juga menawarkan bas perjalanan balik secara percuma, dan kali ini perjalanannya berlangsung dengan lancar.
Namun perkara yang sama tidak boleh dikatakan bagi mereka yang menaiki LRT untuk pulang ke tempat penginapan di Kuala Lumpur.
Seorang penyokong yang hanya ingin dikenali sebagai Zu, menceritakan:
“Terdapat satu kumpulan peminat Malaysia, sekitar 20 hingga 30 individu yang paksa masuk ke dalam stesen LRT Bukit Jalil sambil memekik kata-kata kesat kepada satu lagi kumpulan penyokong Malaysia,” kongsi beliau.
Beliau berkongsi bahawa pihak polis terpaksa tenangkan keadaan antara dua kumpulan itu.
Namun, kekecohannya belum berakhir.
“Semasa kereta api bergerak ke Bandar Tasik Selatan pula, kami terdengar teriakan daripada kumpulan yang sama di dalam kereta api,” kata Zu.
“Apabila pintu dibuka, kekecohan bermula semula. Pergaduhan berlaku di dalam gerabak khas untuk wanita dan di platform. Tong sampah, papan tanda dan botol dibaling, menjadikan suasana lebih berbahaya,” tambah beliau.
Kekecohan itu membuat LRT terhenti di stesen selama lebih kurang lima minit sementara situasi dikawal.
Zu berkongsi bahawa keluarga dan rakan-rakan beliau rasa trauma akibat kejadian itu.
Apa yang sepatutnya menjadi perjalanan biasa selepas perlawanan bola sepak yang mendebarkan berubah menjadi pengalaman menakutkan bagi ramai penumpang.
Walaupun gembira Singapura layak ke pusingan seterusnya, sudah tentu mereka lebih lega dapat pulang dengan selamat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg