Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri Besar: JS-SEZ tonggak utama kejayaan ekonomi Johor

Jul 28, 2025 | 2:28 PM
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

MUAR (Johor): Kerjasama erat kerajaan Persekutuan dan negeri Johor dalam menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadikan inisiatif itu sebahagian daripada tonggak utama kejayaan ekonomi Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Johor berada di landasan yang sangat baik berdasarkan pencapaian yang dilakarkan, sekali gus membuktikan usaha yang dilakukan bagi membangunkan negeri berkenaan membuahkan hasil.

Beliau berkata sebagai contoh, Johor mencatat pelaburan diluluskan mencecah RM30.1 bilion ($9.1 bilion) bagi suku pertama 2025 selain mencatatkan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebanyak 6.4 peratus iaitu melepasi paras pertumbuhan nasional 2024.

“Ini bukan angka kecil, ini membuktikan Johor bukan sekadar menjadi pemacu ekonomi di selatan tanah air, malah antara negeri peneraju pertumbuhan negara.

“Justeru, kita di peringkat Johor ingin menzahirkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Johor,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, yang dirasmikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 27 Julai.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Datuk Anwar atas pengumuman inisiatif yang diumumkan bagi rakyat baru-baru ini iaitu termasuk pemberian RM100 secara sekali beri dan penurunan harga petrol RON95.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman itu.

“Kita di Johor, selari dengan Persekutuan dengan (pemberian sumbangan) seperti Bakul Kasih, Jualan Kasih, Dapur Kasih, pembinaan rumah mampu milik, bantuan kepada hospital dan pelbagai lagi,” katanya.

Datuk Onn Hafiz pada masa sama turut melahirkan penghargaan kerajaan memilih Johor khususnya Muar sebagai tuan rumah Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025.

Beliau berkata Muar yang juga lokasi sejarah kemerdekaan disemai, melahirkan tokoh penting yang membuka jalan kepada pembentukan negara bangsa termasuk Datuk Onn Jaafar, Tan Sri Mohamed Noah Omar dan Abdul Majid Salleh.

“Mereka bukan sahaja berani bahkan jujur dalam perjuangan dan tulus dalam khidmat mereka untuk tanah air.

“Maka, apabila Johor dan khususnya Muar dipilih sebagai lokasi pelancaran Bulan Kebangsaan tahun 2025, saya percaya ini bukan satu kebetulan. Ini adalah satu penghargaan kepada sejarah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg