Kerajaan Johor terus beriltizam memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui perancangan pembangunan menyeluruh yang merangkumi perumahan, pengurusan risiko banjir, kemampanan bandar dan pemuliharaan alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata beliau telah mengadakan pertemuan rasmi dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 16 Julai bagi membentangkan beberapa permohonan strategik demi kepentingan rakyat negeri itu.
Antara yang diketengahkan ialah permohonan peruntukan bagi program Rejuvenasi Flat Taman Ungku Tun Aminah (Tuta) yang memerlukan penyelenggaraan secara bertahap serta pelan pemulihan jangka panjang.
“Flat kos rendah ini telah sekian lama dibina dan perlu diberi perhatian bagi memastikan ia kekal selesa, selamat dan berdaya huni buat rakyat berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 Julai.
Datuk Mohd Jafni turut memohon kelulusan untuk membina 1,000 unit Rumah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Johor, dan kerajaan negeri bersedia menyumbang RM20,000 ($6,047) bagi setiap unit sebagai komitmen bersama bagi memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.
Dalam pertemuan sama, Johor turut membentangkan permohonan khas peruntukan bagi menangani kawasan ‘panas’ cenderung banjir di beberapa lokasi berisiko tinggi.
“Kita berharap permohonan ini mendapat kelulusan segera agar pencegahan berperingkat dapat dilaksanakan sebelum musim tengkujuh tiba, demi keselamatan masyarakat terlibat,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan mempercepat pelaksanaan projek ‘Waste-to-Energy’ (WTE) Bukit Payong, yang bakal menjadi tonggak utama dalam pengurusan sisa pepejal berasaskan teknologi hijau di Johor.
“Projek ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan KPKT agar ia dapat dijayakan sebagai model pengurusan mampan bandar moden,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Mohd Jafni turut mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) Ke-48 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putrajaya.
Menurutnya, sebanyak lima kertas kerja penting dibincangkan termasuk perkara melibatkan kepentingan strategik Johor seperti cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sebagai komponen penting menyokong pertumbuhan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Beliau turut membangkitkan sokongan kerajaan negeri terhadap pelaksanaan Panduan Kawasan Sensitif Alam Sekitar yang telah diperakukan Jawatankuasa Perancang Negeri sejak Mei lalu.
Satu lagi aspek penting yang dikemukakan ialah sumbangan Johor terhadap komitmen negara mewartakan 10 peratus perairan sebagai Kawasan Perlindungan Marin (MPA).
Ini termasuk 13 pulau dalam kawasan Taman Laut Sultan Iskandar yang meliputi keluasan 76,565 hektar.
Antara pulau utama yang terlibat ialah Pulau Tinggi (10,180 hektar); Pulau Aur (9,745 hektar); dan Pulau Pemanggil (8,790 hektar) – semuanya kaya dengan biodiversiti marin termasuk penyu, ikan, dugong dan spesies hidupan akuatik lain.
“Komitmen ini mencerminkan iltizam Johor dalam menjaga khazanah alam semula jadi demi kelestarian alam sekitar dan keterjaminan makanan negara untuk generasi masa depan,” katanya.
Datuk Mohd Jafni menegaskan bahawa semua pandangan dan ketetapan dalam MPFN akan diteliti dan diambil tindakan lanjut secara menyeluruh bagi menjayakan agenda pembangunan fizikal Johor secara seimbang dan berpaksikan rakyat.
“Segala usaha ini sejajar dengan visi besar Maju Johor yang mahu membentuk negeri yang moden, progresif dan rakyat sebagai tunjang utama pembangunan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg