Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri: Dasar kerja dari rumah penjawat awam tidak jejas ekonomi M’sia
Menteri: Dasar kerja dari rumah penjawat awam tidak jejas ekonomi M’sia
Menteri: Dasar kerja dari rumah penjawat awam tidak jejas ekonomi M’sia
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) untuk penjawat awam yang bermula 15 April ini, tidak akan merencatkan denyutan ekonomi Malaysia.
Sebaliknya, ia adalah langkah strategik untuk memastikan produktiviti terus mekar, kata Menteri Ekonomi, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau menjelaskan, dasar kali ini berbeza sama sekali dengan BDR semasa pandemik Covid-19 dahulu yang bertujuan membendung virus.
Tujuan utamanya kini ialah kesinambungan produktiviti, tanpa sedikit pun menjejas roda operasi ekonomi.
“Maka, bekerja dari rumah bukan tembok penghalang kepada kegiatan ekonomi, tetapi kunci untuk memastikan produktiviti tetap utuh dan komitmen penjawat awam benar-benar tertunai, walau di mana jua mereka bertugas,” katanya, lapor Astro Awani.
Kenyataan itu dibuat ketika ditemui pada program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk, Mendepani Krisis Tenaga: Menjamin Kestabilan Ekonomi, pada malam 9 April.
Menyentuh kebimbangan orang ramai tentang kemungkinan pembelian panik, Encik Akmal Nasrullah, menyatakan kerajaan telah bertindak awal.
Isu bekalan telah diteliti sejak Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) diaktifkan awal Mac lalu.
Jaminan bekalan makanan, terutamanya barang keperluan asas, menjadi tumpuan utama.
“Justeru, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memberi jaminan stok keperluan asas insya-Allah mencukupi untuk tempoh yang wajar.
“Contohnya, bekalan beras dijangka boleh bertahan sehingga sembilan bulan. Bagi bahan-bahan lain pula, ia tentu bergantung kepada dinamik pengeluaran,” ulas beliau.
Encik Akmal Nasrullah menambah, bekalan bahan segar seperti sayur-sayuran memerlukan pengeluaran berterusan, manakala bekalan protein seperti ayam dan telur, serta makanan ternakan, turut dipantau rapi.
Sehubungan itu, beliau merayu agar orang ramai mengelak daripada melakukan pembelian panik yang hanya akan menggoncang kestabilan bekalan sedia ada.
“Sejak awal lagi kita proaktif menjamin bekalan ini memadai... namun, syaratnya ialah kita harus bersama-sama membina keyakinan untuk tidak mencetuskan sebarang aktiviti sorok bekalan atau pembelian panik yang akan menyebabkan kejutan kepada stok yang ada,” tegasnya.
Encik Akmal Nasrullah menekankan cabaran menyampaikan mesej ekonomi agar difahami dan diterima rakyat, memerlukan pendekatan komunikasi yang lebih jelas, tekal, dan mudah dihadam dalam keadaan semasa yang mencabar.
Menurutnya, usaha komunikasi termasuk penggunaan video pendek secara berterusan dilaksanakan bagi menjelaskan isu ekonomi kepada rakyat meskipun perlu seimbang antara kandungan bermaklumat dengan daya tarikan umum.
“Untuk perkara ini difahami, ia perlu dibongkar satu per satu dan mungkin mengambil masa.
“Jangkaan saya, kita perlukan masa dua bulan untuk turun padang, terangkan, berikan keyakinan, sehinggalah keputusan dapat dibuat dengan sokongan yang munasabah,” tambah beliau.
