Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Kesan negatif jika BlackRock gugurkan pelaburan di M’sia

Jun 27, 2024 | 2:43 PM
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.  - Foto FACEBOOK TENGKU ZAFRUL

KUALA LUMPUR: Firma pelaburan global BlackRock Inc memiliki pelaburan ekuiti dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia, membabitkan nilai aset keseluruhan RM27.5 bilion ($7.91 bilion).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata jumlah itu membabitkan nilai RM20.5 bilion di Bursa dan RM7 bilion lagi dalam bon kerajaan dan syarikat korporat.

Justeru, sebarang pengguguran pelaburan BlackRock dari Malaysia akan mendatangkan implikasi dan kesan negatif dalam usaha merealisasikan agenda pelaburan negara, katanya.

“BlackRock sudah ada di Malaysia sejak 1990-an. Setakat Mei lalu, BlackRock sebagai sebuah firma pelaburan global sudah memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia, merangkumi sektor industri dengan tiga entiti terbesar membabitkan institusi perbankan di negara ini,” katanya, semasa menjawab soalan Encik Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada 27 Jun.

BlackRock syarikat pengurusan aset Amerika Syarikat yang ada pelaburan besar di Israel.

Encik Lim bertanya tentang jumlah pelaburan BlackRock atau syarikat ada kaitan dengannya di Malaysia, negeri terbabit dan impak kepada ekonomi negara jika semua pelaburannya digugurkan.

Tengku Zafrul berkata setakat 31 Mac, aset di bawah pengurusan BlackRock bernilai RM49.35 trilion dan ia memegang saham dalam hampir semua syarikat senaraian awam di seluruh dunia dan dana berdaulat di negara seperti Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Bahrain dan Indonesia.

Antara pelaburan BlackRock dalam pasaran bon terbitan kerajaan ialah Malaysia Sukuk Global Berhad, Export-Import Bank of Malaysia Berhad, Malaysia Wakala Sukuk Berhad, Petroliam Nasional Berhad, dan Malaysia Sovereign Sukuk Berhad.

BlackRock turut ada kepentingan pelaburan dalam Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM8.6 juta, Metal Aluminium sebanyak RM625 juta dan CelcomDigi sebanyak RM526 juta.

Tengku Zafrul berkata BlackRock juga pemegang saham beberapa syarikat berbilang negara besar di Malaysia, termasuk Microsoft, Boeing, Intel dan Texas Instruments.

Menurutnya, syarikat seperti Microsoft, Boeing, Intel, dan Texas Instruments, yang mempunyai pemilikan saham BlackRock, menyumbang kepada pembangunan industri dan negeri melalui projek pelaburan di Malaysia.

Ini termasuk Intel, yang menyumbang kepada pertumbuhan sub-sektor semikonduktor di Pulau Pinang; Infineon di Melaka dan Kedah; Texas Instruments dalam industri elektrikal & elektronik di Melaka dan Kuala Lumpur; dan subsidiari Boeing, Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd (ACM), dalam aeroangkasa di Kedah.

Syarikat dengan pegangan saham BlackRock ini memberi sumbangan besar kepada pendapatan eksport negara, antaranya Intel menyumbang sebanyak RM50 bilion nilai eksport untuk komponen semikonduktor, tambah Tengku Zafrul.

Pada Mei, dana kekayaan negara Khazanah Nasional Bhd mengumumkan ia mengetuai konsortium Gateway Development Alliance (GDA) dalam tawaran untuk membeli semua saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang tidak dimilikinya.

Pemegang saham GDA termasuk Global Infrastructure Partners (GIP), melalui GIP Aureus Pte Ltd; Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); dan Penguasa Pelaburan Abu Dhabi (Adia). Kebimbangan timbul selepas BlackRock memperoleh GIP, yang dijangka selesai suku ketiga 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg