PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Malaysia akan mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C sekiranya bekalan kembali pulih dan stabil.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata langkah menamatkan subsidi berkenaan wajar dipertimbangkan berdasarkan kejayaan penamatan subsidi ayam yang memberi penjimatan RM100 juta ($30.4 juta) sebulan.
Menurutnya, penjimatan daripada subsidi itu dapat dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agromakanan lain yang lebih mendesak.
“Justeru saya berpandangan, sudah tiba masanya kementerian ini mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C.
“Apabila kita mengambil keputusan tidak popular iaitu menamatkan subsidi harga ayam, ketika itu ramai yang memperlekehkan usaha kita kononnya harga ayam akan melambung.
“Alhamdulillah, selepas subsidi ditamatkan, harga ayam tidak lagi melambung dan lebih penting, negara mendapat manfaat dengan penjimatan RM100 juta sebulan melalui penamatan subsidi harga ayam,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perhimpunan Bulanan KPKM di sini, pada 9 Oktober.
Pada 2023, kerajaan Malaysia memperuntukkan RM927 juta bagi subsidi telur ayam.
Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan penurunan tiga sen untuk harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Datuk Mohamad berkata cadangan penamatan subsidi telur ayam sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Beliau menambah langkah kerajaan menghentikan subsidi ayam pada 1 November 2023 terbukti berhasil apabila harga dan bekalan ayam di pasaran terus stabil sehingga kini.
“Tempoh awal saya di kementerian ini, waktu itu negara berhadapan kekurangan ayam dan telur ayam. Kini, penternak ayam pula mengeluh kepada saya kerana harga ayam terlalu murah.
“Alhamdulillah, berkat kerja keras semua, hari ini kita tidak lagi mendengar keluhan rakyat mengenai ketiadaan bekalan ayam dan telur ayam di pasaran,” katanya.
Menurutnya lagi, Malaysia telah membelanjakan lebih RM3 bilion sejak Februari 2022 untuk subsidi ayam dan telur, sebelum kerajaan melaksanakan penamatan subsidi ayam pada 1 November 2023 dan menyaksikan bekalan serta harga ayam semakin stabil hingga kini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg