Topic followed successfully
Go to BHkuMenteri M’sia: Tambang RTS dijangka diumum suku ketiga 2026
Menteri M’sia: Tambang RTS dijangka diumum suku ketiga 2026
Anthony Loke: Tambang disarankan akan dibentangkan kepada pemerintah S’pura-Msia; kajian mengenai pas perjalanan masih berjalan
Menteri M’sia: Tambang RTS dijangka diumum suku ketiga 2026
Kadar tambang bagi Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link) dijangka dimuktamadkan dan diumumkan pada suku ketiga tahun 2026 selepas melalui proses penilaian bersama pihak berkuasa kedua-dua negara.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata perkara itu sedang dibincangkan oleh pengendali RTS Operations (RTSO) sebelum dikemukakan kepada kerajaan Malaysia dan pemerintah Singapura untuk kelulusan.
“Dari segi tambang, pihak RTSO sedang membuat perbincangan dan dijangka membuat keputusan menjelang suku ketiga tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar, Johor Bahru, pada 3 April.
Menurut beliau, sebarang keputusan berkaitan tambang perlu melalui proses kelulusan Agensi Pengangkutan Darat Malaysia (Apad) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura.
“Sudah tentu ia akan diumumkan sebelum perkhidmatan ini dimulakan,” katanya.
Pada Februari, Encik Loke mencadangkan tambang berharga antara $5 dan $7 setiap perjalanan.
Mengenai pelaksanaan pas perjalanan berkala, beliau berkata perkara itu masih dalam penelitian dan memerlukan pertimbangan menyeluruh.
“Pas perjalanan ini perlu dilihat secara teliti kerana sistem ini bukan sistem domestik, tetapi melibatkan dua negara,” katanya.
RTS Link, yang berjarak kira-kira empat kilometer menyediakan khidmat ulang-alik kereta api dengan dua stesen, di Bukit Chagar, Johor Bahru dan di Woodlands, Singapura.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa RTSO sebagai syarikat usaha sama Malaysia dan Singapura perlu memastikan operasi kekal mampan dari segi kewangan.
“RTSO bukan syarikat milik satu negara, tetapi usaha sama kedua-dua negara, jadi mereka perlu memastikan hasil mencukupi untuk menampung kos operasi,” katanya.
Menurut beliau, sebarang skim pas perjalanan yang ingin diperkenalkan perlu memenuhi syarat daya maju komersial.
“Oleh itu, apa-apa bentuk pas perjalanan mesti berdaya maju dan tidak menjejas kelangsungan operasi,” katanya.
Encik Loke berkata kajian pasaran sedang dijalankan oleh RTSO bagi menentukan struktur tambang yang sesuai.
“Kajian ini penting untuk memastikan kadar tambang yang ditetapkan adalah seimbang dan berpatutan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata RTS Link dijangka mampu menampung sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, khususnya pada waktu sibuk.
“Sudah tentu tidak setiap jam akan mencapai kapasiti maksimum, tetapi pada waktu sibuk, sistem ini mampu menampung sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah,” katanya.
Beliau berkata kapasiti tersebut dijangka memberi impak besar dalam mengurangkan kesesakan di sempadan Johor Bahru-Singapura.

