KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kekal dikawal oleh kerajaan, dengan pengurusannya tidak akan diambil alih oleh warga asing.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata ada keperluan untuk mendapatkan dana yang besar bagi tujuan menaik taraf lapangan terbang Malaysia di bawah kendalian MAHB, memandangkan ia sudah ketinggalan berbanding negara serantau.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, itu sama sekali tidak bermaksud kerajaan Malaysia akan melepaskan pegangan ke atas aset strategik milik MAHB itu, apatah lagi untuk membiarkan ia dikawal syarikat milik Israel.
Dalam sesi penerangan di Kamar Khas Parlimen, beliau berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sebaliknya akan meningkatkan lagi pegangan sahamnya daripada 41 peratus kepada 70 peratus.
“Pengurusan MAHB tidak akan diambil alih oleh warga asing. Lapangan terbang kekal milik Kerajaan. MAHB hanya bertindak sebagai operator lapangan terbang, manakala agensi penguat kuasa kerajaan akan terus menguruskan aspek keselamatan.
“Lapangan terbang Malaysia juga sudah ketinggalan berbanding negara serantau. Cadangan mengambil alih MAHB oleh Konsortium (yang diterajui KWSP dan Khazanah) ini adalah hasrat akhir untuk menyediakan perkhidmatan lapangan terbang terbaik buat rakyat dan penumpang,” katanya, lapor Astro Awani.
Ketika ini, ujar beliau, Khazanah dan KWSP masing-masing memegang 33 peratus dan 8 peratus saham MAHB, manakala baki 59 peratus dimiliki oleh pelabur lain.
Oleh itu, beliau berkata ada cadangan mengambil alih MAHB melalui penubuhan konsortium itu untuk membeli keseluruhan 59 peratus saham yang kini dimiliki pelbagai pelabur.
“Hasratnya adalah supaya 100 peratus saham MAHB dipegang oleh konsortium itu,” jelasnya.
Mengenai pembabitan Global Infrastructure Partners (GIP), yang menjadi kontroversi kerana dikaitkan dengan firma BlackRock milik Israel, Datuk Amir Hamzah, berkata pelibatan GIP hanya sebagai pelabur dan rakan teknikal.
Beliau menjelaskan GIP hanya berperanan untuk memberi khidmat nasihat dan berkongsi kepakaran dalam meningkatkan tahap kecekapan lapangan terbang.
Malah, kerajaan Malaysia akan terus memegang saham khas, atau golden share, dalam MAHB.
Situasi itu, kata Datuk Amir Hamzah, membawa maksud bahawa hanya kerajaan mempunyai kuasa melantik pengerusi dan pengarah urusan MAHB, yang kedua-duanya mesti warga Malaysia.
Mengambil kira faktor lapangan terbang kendalian MAHB agak ketinggalan dan perbelanjaan modal MAHB hanya sekitar RM1.4 bilion ($400 juta) untuk 39 lapangan terbang, berbanding Thailand (RM6.6 bilion) dan Indonesia (RM12 bilion), maka perubahan perlu dilakukan sekarang, ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg