Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenuju alam perkahwinan, Syed Saddiq, Bella ‘berguru’ dengan Wan Azizah
Pasangan sampaikan kad undangan, turut dapatkan nasihat mengenai hidup berumah tangga
Menuju alam perkahwinan, Syed Saddiq, Bella ‘berguru’ dengan Wan Azizah
KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan mengedarkan kad undangan perkahwinan kepada kenalan dan tetamu kenamaan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan tunangannya, penyanyi dan pelakon Malaysia, Bella Astillah, turut mengambil kesempatan ‘berguru’ mengenai alam rumah tangga.
Dalam hantaran di laman sosial Instagram, Syed Saddiq berkongsi detik mengedarkan kad undangan buat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pasangan itu meluangkan hampir dua jam bersama Datuk Dr Wan Azizah, bukan sekadar untuk menyampaikan kad undangan perkahwinan mereka, malah turut mendapatkan nasihat dan pandangan beliau mengenai kehidupan berumah tangga.
Menurut Syed Saddiq, Datuk Dr Wan Azizah yang digelarnya sebagai ‘Malaysia’s Compassionate Iron Lady’ (‘Wanita Besi’ Malaysia yang Penuh Ihsan) adalah antara individu paling sesuai untuk dijadikan rujukan memandangkan pengalaman jatuh bangun mantan Timbalan Perdana Menteri itu dalam politik.
“Hampir dua jam saya dan Bella ‘berguru’ bab perkahwinan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah.
“Kalau nak cari orang yang paling layak beri nasihat tentang rumah tangga, pengorbanan dan kesetiaan, susah nak lawan beliau.
“Beliau memahami selok-belok dunia politik. Beliau tahu besarnya pengorbanan seorang isteri dan seorang ibu. Diuji berkali-kali dalam keadaan yang bukan mudah, tetapi tetap teguh dan setia bersama keluarga.
“Sebab itu bagi saya beliau ialah ‘Malaysia’s Compassionate Iron Lady’,” katanya di Instagram pada 14 September.
Sambil berkongsi foto mereka berdua bersama Datuk Dr Wan Azizah, Syed Saddiq menyifatkan pengalaman pernah berkhidmat bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu sebagai satu penghormatan dan keistimewaan buatnya yang akan sentiasa dihargai.
“Kali ini datang bukan untuk mesyuarat Kabinet, tapi saya dan Bella datang bawa kad kahwin. Terima kasih, Datuk Seri, atas hampir dua jam nasihat, cerita dan pesanan untuk kami berdua.
“Insya-Allah nasihat itu kami bawa masuk ke alam perkahwinan,” tulisnya.
Hantaran Syed Saddiq itu mendapat hampir 90,000 tanda suka dan lebih 1,200 komen.
Syed Saddiq yang juga mantan Ketua Armada (Pemuda) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pernah memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Ketika itu, Datuk Dr Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Datuk Dr Wan Azizah juga pernah menjadi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), ketika Datuk Anwar ditangkap dan dipenjarakan.
Sementara itu, Syed Saddiq dan Bella bertunang pada 28 Mac lalu, sebelum mengesahkan akan bernikah pada 10 Oktober ini.
Majlis pernikahan dijadual berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank, di Kuala Lumpur.
Pasangan itu dilaporkan mula berkenalan selepas Bella berpisah dengan suaminya yang juga pelakon dan penyanyi asal Singapura, Aliff Aziz.