Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyed Saddiq, Bella Astillah nikah 10 Okt di menara tertinggi M’sia
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, mengumumkan bakal melangsungkan pernikahan pada 10 Oktober depan, dengan mercu tanda tertinggi di Malaysia, Menara Merdeka Maybank di Kuala Lumpur, dipilih sebagai lokasi majlis.
Berita gembira itu diumumkan Syed Saddiq, 34 tahun, dan Bella, 32 tahun, secara langsung dalam satu program hiburan, MeleTOP pada 18 Ogos, sekali gus menamatkan penantian peminat mereka.
Syed Saddiq dan Bella yang mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu, berkata majlis di tingkat 118 menara berkenaan mengangkat konsep serba putih yang disulami elemen Arab atau Islamik atas permintaan keluarga.
Ketika berkongsi berita gembira itu, satu video klip khas yang memaparkan Syed Saddiq dan Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, mengenakan busana tradisional serba putih sambil berkongsi kata-kata romantis turut ditayangkan.
Video itu yang dikongsikan pasangan berkenaan di media sosial masing-masing turut mencuri perhatian warganet yang meninggalkan ribuan ucapan tahniah dan doa buat Syed Saddiq dan Bella.
Berkongsi lanjut, Syed Saddiq berkata keputusan memilih tarikh 10 Oktober dibuat selepas mengambil kira pelbagai persiapan, selain menghargai doa serta nasihat yang diterima daripada orang ramai sejak mereka mengumumkan pertunangan.
“Saya terhutang budi kepada mereka yang tak putus-putus berdoa.
“Nikah 10 Oktober, sanding juga pada bulan sama. Majlis juga akan diadakan di Kuala Lumpur, Muar (Johor), dan Sabah,” kata Syed Saddiq pada program tersebut, lapor Astro Awani.
Turut hadir pada program berkenaan ialah kedua-dua ibu bapa Syed Saddiq iaitu Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff, dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.
Berkongsi mengenai persiapan perkahwinan, ahli politik popular Malaysia itu mengakui mereka mempunyai tempoh kira-kira 100 hari sahaja.
Kata Syed Saddiq, persiapan hanya dapat dimulakan selepas beliau menyelesaikan kes di Mahkamah Persekutuan pada Julai lalu, menyebabkan mereka perlu menyegerakan segala persiapan bagi memastikan segala urusan berkaitan majlis berjalan lancar.
“Saya tak sangka Bella boleh buat segala-galanya.
“Kita sibuk dengan kerjaya masing-masing tetapi dalam kesibukan itu, Bella boleh mikro urus (micromanage) persiapan perkahwinan.
“Bella bekerjasama dengan banyak pihak, bukan setakat untuk satu majlis tetapi beberapa majlis di beberapa lokasi.
“Jadi semua itu datang serentak, tetapi beliau sangat penyabar.
“Kami hanya boleh bermula proses merancang perkahwinan selepas tamat cabaran saya di Mahkamah Persekutuan pada Julai,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menegaskan perkahwinannya dengan Bella bukan sekadar penyatuan antara mereka berdua, sebaliknya turut melibatkan keluarga, termasuk anak-anak Bella, Ayden dan Ara.
