JOHOR BAHRU: Kerja-kerja menaik taraf mercu tanda Kilometer Sifar Johor Bahru dijangka memperkukuhkan identiti bandar raya itu sebagai destinasi yang lebih moden dan menarik, selain meningkatkan keselesaan penduduk serta pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata hasil kerja naik taraf yang sedang dilaksanakan di lokasi berkenaan berjaya menyerlahkan wajah baharu bandar raya Johor Bahru.

Beliau berkata projek itu bukan sekadar memperindah landskap bandar, malah memberi nilai tambah kepada imej bandar raya serta berpotensi menjadi antara lokasi ikonik untuk warga tempatan dan pelancong.

“Naik taraf ini bukan sekadar mencantikkan kawasan, malah turut memberi nilai tambah kepada imej bandar raya, meningkatkan keselesaan pengunjung serta berpotensi menjadi salah satu lokasi ikonik untuk warga tempatan dan pelancong,” katanya dalam satu kenyataan pada 29 Julai.

Beliau berkata demikian selepas meninjau projek berkenaan bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Mohd Haffiz Ahmad.

Datuk Mohd Jafni berkata beliau mahu setiap projek yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan dipantau dengan teliti supaya disiapkan mengikut piawaian mutu, serta memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

Terdahulu, beliau turut singgah ke Danga Park bagi melihat sendiri suasana di kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan masyarakat.

Katanya, kehadiran ramai pengunjung bersama keluarga dan rakan-rakan membuktikan kepentingan ruang awam yang selesa sebagai tempat masyarakat beriadah serta mengeratkan hubungan.

Beliau berkata lawatan itu turut dimanfaatkan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai kemudahan awam dan persekitaran di kawasan berkenaan.

“Bagi saya, setiap pandangan rakyat penting untuk membantu kerajaan tempatan menambah baik mutu perkhidmatan dan memastikan kemudahan yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Datuk Mohd Jafni berkata kerajaan negeri turut memperkemaskan penyelarasan beberapa projek infrastruktur utama di Kulai bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual.

Beliau berkata antara projek yang diberi perhatian ialah pembinaan Jalan Alternatif Bandar Putra ke Saleng, yang kini mencapai kemajuan sebanyak 75 peratus.

“Walaupun projek ini berdepan isu keadaan tanah yang tidak sesuai serta pengalihan utiliti, saya telah meminta semua pihak memperkemaskan penyelarasan agar baki kerja dapat disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya, selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan IOI Properties Group Berhad.

Menurut beliau, mesyuarat itu turut membincangkan cadangan pembinaan Jalan Alternatif Lebuh Putra Impian ke Jalan Kulai-Kota Tinggi yang dijangka menyediakan laluan tambahan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan jaringan perhubungan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata perancangan menaik taraf Persimpangan J1 dan pusingan-U di J5 turut diberi perhatian, dengan semua isu teknikal, kelulusan pelan serta laporan penilaian impak trafik perlu diselesaikan melalui kerjasama erat antara pemaju, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan agensi teknikal berkaitan.

“Sebagai wakil rakyat, keutamaan saya adalah memastikan setiap pembangunan bukan sekadar menguntungkan pemaju, tetapi benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.

“Infrastruktur asas, akses jalan raya, sistem perparitan dan kawalan kesesakan perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan pembangunan agar penduduk tidak menanggung kesannya pada masa hadapan,” katanya.