Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zoo Johor bakal berwajah baru

Projek naik taraf tahap 2 siap hujung 2025, sedia bagi sambutan Tahun Melawat Johor 2026
Sep 15, 2025 | 2:22 PM
zoo johor, tahun melawat johor, 2026
Zoo Johor, ikon warisan negeri Johor dan mercu tarikan pelancongan utama, kini dalam tahap kedua kerja naik taraf. - Foto BERNAMA

Zoo Johor, ikon warisan negeri dan mercu tarikan pelancongan utama, kini dalam tahap kedua kerja naik taraf dengan kemajuan sekitar 30 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata sebanyak RM7 juta ($2.1 juta) diperuntukkan untuk tahap kedua, manakala perancangan bagi tahap ketiga dan keempat turut digerakkan.

Projek ini dijangka siap pada Disember 2025, sekali gus menjadikan zoo tersebut lebih moden, mesra keluarga dan bersedia menyambut Tahun Melawat Johor 2026.

“Antara elemen utama tahap dua ialah laluan mesra orang kurang upaya (OKU) dengan pencapaian hampir 90 peratus, pembinaan enam kandang karnivor baru, kandang herbivor di Zon 3, serta naik taraf kandang kuarantin dan kurungan malam.

“Kerja naik taraf juga melibatkan landskap, sistem perparitan baru, pencawang elektrik padat serta penyediaan prasarana bagi projek Zoo Malam yang dijangka siap pada suku pertama 2026,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Zoo Johor turut memperkenalkan konsep baru seperti Petting Zoo bagi memberi peluang pengunjung berinteraksi dengan haiwan jinak, selain menjadi wadah pendidikan dan rekreasi.

“Kami akan bawa beberapa haiwan baru seperti capybara (babi air) dan walabi untuk berinteraksi bersama kanak-kanak.

“Kami turut ada dua haiwan baru iaitu harimau kumbang dan harimau dahan.

“Zoo Malam akan menjadi tarikan unik dengan pengalaman berbeza, setaraf zoo antarabangsa. Ini akan memperkukuh kedudukan Zoo Johor sebagai destinasi wajib kunjung sempena Tahun Melawat Johor 2026,” kata Datuk Mohd Jafni.

Selain itu, laluan pejalan kaki dan kemudahan keselamatan turut dipertingkat dengan pembinaan dinding penghadang di kawasan tertentu serta penggunaan bahan binaan bermutu.

Beliau berkata kerja menaik taraf Zoo Johor bergerak seiring dengan projek pembangunan prasarana lain di sekitar bandar Johor Bahru.

Antaranya, projek pelebaran jalan hadapan zoo dengan peruntukan RM8 juta yang bakal menjadikan laluan dua hala empat lorong sambil mengekalkan deretan pokok hiasan di tengah jalan. Projek ini dijangka siap pada suku keempat 2025.

Bagi menangani isu banjir kilat, kerajaan negeri meluluskan RM10 juta bagi projek kolam takungan baru dan naik taraf pam di Kampung Mohd Amin.

Projek itu dijangka menyelesaikan dua kawasan yang sering dilanda banjir utama iaitu di Kampung Mohd Amin dan sekitar Jalan Dato’ Sulaiman, berdekatan bangunan pusat beli-belah KSL.

Dalam usaha ke arah bandar pintar, kerajaan Johor turut memasang kamera di parit monsun yang mengesan paras air secara masa nyata.

Sistem itu membolehkan jurutera menerima pemberitahuan melalui telefon pintar sekiranya paras air meningkat.

Selain itu, kemudahan Smartpole dipasang di taman rekreasi dan hutan bandar dengan ciri seperti kamera litar tertutup, pembesar suara, mikrofon serta butang kecemasan yang disambungkan terus ke Pusat Kawalan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

“Projek Hutan Bandar bernilai RM10 juta akan siap hujung 2025. Ia dilengkapi kemudahan untuk aktiviti malam seperti berlari-lari anak, dengan sokongan teknologi pintar demi keselamatan pengunjung,” jelas beliau.

Sehingga kini, terdapat 414 ekor haiwan di Zoo Johor daripada 70 jenis spesis yang terdiri daripada mamalia, reptilia, burung dan ikan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg